KUALA LUMPUR – Cuti sekolah bermula Sabtu lalu menyaksikan Zoo Negara menjadi tumpuan orang ramai termasuk pengunjung dari Sabah menghabiskan masa bersama keluarga.
Tinjauan Kosmo! mendapati orang ramai mula mengunjungi pusat tumpuan itu bermula pukul 8 pagi.
Seorang suri rumah dari Selayang yang ingin dikenali sebagai Effa, 34, berkata, dia mengambil kesempatan sempena cuti sekolah dan Hari Malaysia untuk membawa anak-anaknya ke Zoo Negara.
Katanya, bagi mengelakkan kesesakan disebabkan membawa bayi dia bersama keluarga keluar awal sekitar pukul 9 pagi.
“Dulu masa kecil pernah datang, tapi sekarang lain sebab bawa anak. Haiwan pun makin banyak balik, jadi lebih seronok untuk budak-budak,” katanya ketika ditemui di Zoo Negara hari ini.
Seorang jurutera dari Sri Petaling, Nor Azwan, 34, berkata, Zoo Negara kini menawarkan pengalaman berbeza berbanding ketika kunjungannya pada 2018, termasuk adanya kemudahan tram yang lebih mesra pengunjung.
Katanya, Zoo Negara lebih menonjol kerana menampilkan lebih banyak spesies termasuk singa putih dan harimau.
“Zoo Negara memang sesuai untuk bawa keluarga. Harga tiket pun berpatutan, tak membebankan bila datang ramai-ramai,” jelasnya.
Bagi Azirul Farizi, 35, dari Putrajaya, berkata, percutian ke Zoo Negara kali ini bukan sahaja untuk menggembirakan anak-anak, malah dijadikan lokasi sambutan hari lahirnya apabila mendapat tiket percuma hasil tempahan dalam talian.
Sementara itu, pengunjung dari Sabah, Muhammad Jiffri, 42, memberitahu, dia yang tinggal di Sandakan memilih untuk bercuti bersama keluarga di Kuala Lumpur dengan Zoo Negara antara lokasi pilihan untuk dikunjungi.
“Isteri saya dapat tiket percuma sebab birthday. Kami memang rancang datang sini, lepas ini nak teruskan lawatan ke Aquaria KLCC pula,” katanya. – KOSMO! ONLINE