Suspek kes tembak Sungai Golok tiada masalah disiplin ketika dengan Kelantan FA

13 hours ago 5

KOTA BHARU – Bekas penjaga gol Kelantan FA yang dipercayai suspek kes tembak seorang lelaki di Kampung Bering, Sungai Golok dekat Thailand kelmarin tidak mempunyai masalah disiplin dan rekod jenayah sepanjang dua kali bermain dengan skuad itu.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Husin Deraman berkata, bekas pemain berusia 31 tahun dan berasal dari Rantau Panjang itu pernah sepanjang beraksi bersama Kelantan FA pada musim 2014 dan 2019.

Menurutnya, lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes itu kemudian berkelana dan menyertai Nara United FC di Thailand pada 2020.
”Dia tidak mempunyai sebarang masalah disiplin atau terlibat dengan jenayah sepanjang beraksi bersama Kelantan FA. Dia juga mudah bergaul dengan rakan sepasukan dan pihak pengurusan.

“Kita agak terkejut apabila menerima berita bahawa bekas pemain pasukan Kelantan FA terlibat dalam kes itu. KAFA ada menghubungi pemain berkenaan pada 2020, namun dia ketika itu sudah beraksi dengan Nara United FC,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Husin memberitahu, penjaga gol itu dikatakan menghadapi masalah kewangan semasa beraksi bersama Kelantan FA sehingga menyebabkan KAFA menyediakan kemudahan pengangkutan dari Rantau Panjang ke Kota Bharu bagi memudahkan pemain tersebut menghadiri latihan.

Kosmo! Online semalam melaporkan, salah seorang suspek yang dipercayai menembak rakyat Malaysia dengan 18 das tembakan di Kampung Bering, Sungai Golok dekat Thailand semalam merupakan bekas penjaga gol Kelantan FA pada musim 2019.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, lelaki itu berusia dalam lingkungan awal 30-an dan pernah bermain bola sepak bersama skuad Kelantan FA.

“Benar, suspek merupakan penjaga gol pasukan bola sepak Kelantan FA. Siasatan lanjut masih dijalankan oleh pihak polis Thailand untuk mengesan suspek.

“Setakat ini, kita tidak dapat pengesahan bahawa sama ada suspek mempunyai dua kerakyatan atau sebaliknya. Kita juga tidak menolak kemungkinan suspek melarikan diri ke negara ini,” katanya.

Berdasarkan rekod, lelaki itu pernah beraksi bersama skuad Piala Presiden Kelantan pada 2014 sebelum beraksi dengan Yala United FC seterusnya PT Prachuap FC di Liga Thailand dan menyertai Kelantan FA pada musim 2019. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |