PETALING JAYA – Negara menyasarkan untuk meningkatkan sumbangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada ekonomi daripada 39.5 peratus pada tahun 2024 kepada 50 peratus menjelang tahun 2030.
Penasihat Khas Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK), Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, meskipun ia satu sasaran tinggi, namun bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai.
“Melangkah ke tahun 2026 iaitu permulaan tempoh Rancangan Malaysia Ke-13, kerajaan terus komited dalam merencanakan hala tuju yang lebih tersusun dalam pembangunan PMKS negara.
“Justeru, pendekatan dialog secara terbuka seperti hari ini, diharapkan berupaya menangani isu-isu asas yang dihadapi usahawan seterusnya membolehkan PMKS menyumbang dengan lebih besar kepada ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Siri Program Turun Padang dan Dialog diadakan bersama Wan Rosdy serta usahawan bumiputera di Sungai Petani, Kedah hari ini.
Ia sebagai inisiatif untuk mendapatkan input dan maklum balas secara langsung daripada Dewan Perniagaan serta komuniti usahawan di peringkat negeri, dengan penekanan khusus terhadap isu dan cabaran keusahawanan bumiputera.
Sesi dialog tersebut menjadi pengisian utama program dalam memberi ruang kepada usahawan menyuarakan secara langsung isu dan cabaran dihadapi dalam perniagaan.
Ia menjelaskan peranan MPUPK dalam menyelaras dasar dan bantuan kerajaan supaya benar-benar sampai kepadabusahawan di peringkat akar umbi, di samping mengetengahkan pelbagai sokongan dan inisiatif kerajaan bagi membantu PMKS bumiputera.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy merangkap Ketua Sekretariat Tetap MPUPK berkata, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan di bawah MPUPK yang merupakan badan tertinggi pembuat dasar bagi PMKS termasuk penambahbaikan pelaksanaan program melalui pelaporan Pelan Tindakan Bersepadu PKS (SMEIPA).
“Dengan penjajaran dan koordinasi bersepadu, SMEIPA dapat membantu dalam mengurangkan isu pertindihan dan masalah ketirisan dana di kalangan Kementerian dan agensi yang terlibat dalam pembangunan usahawan dan PMKS,” katanya. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
4












![[VIDEO] Pelajar IPT maut kemalangan tiga buah kenderaan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Image-2026-01-19-at-3.36.53-PM.jpeg)




































