Iklan seludup migran di media sosial terbongkar, 43 warga asing ditahan

3 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Sindiket penyeludupan migran yang menggunakan media sosial tumpas apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 43 warga Indonesia dalam operasi di persisir pantai Kampung Tebuk Jawa, Sabak Bernam, Jumaat lalu.

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, pihaknya melalui Taskforce Delta telah melakukan serbuan di kawasan persisir pantai berkenaan kira-kira pukul 5.30 pagi.

“Tangkapan membabitkan 31 lelaki dan 12 wanita warga Indonesia berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.

“Selain itu, dua lelaki dewasa warga Indonesia yang dipercayai bertindak sebagai tekong laut turut ditahan dalam operasi berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, kesemua migran dipercayai berkumpul di persisir pantai sebelum dibawa menaiki sebuah bot nelayan yang dipercayai datang dari Indonesia.

“Dalam operasi ini berlaku sedikit pergelutan apabila tekong cuba melarikan diri daripada ditahan, namun situasi berjaya dikawal tanpa sebarang kecederaan,” ujarnya.

Hakemal berkata, pihaknya turut merampas sebuah bot nelayan dan dua unit telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyeludupan migran, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM51,000.

Beliau menjelaskan, kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Mengulas lanjut, Hakrmal berkata, Taskforce Delta yang ditubuhkan pada 11 Ogos lalu telah berjaya menumpaskan 13 kes ATIPSOM setakat ini dengan tangkapan seramai 135 migran di sepanjang perairan Selangor hingga Johor.

“Kami percaya lokasi penyeludupan ini sentiasa berubah dan sindiket akan menjadi lebih aktif menjelang musim perayaan,” jelasnya.

Tambah beliau, siasatan mendapati sindiket mengenakan bayaran antara RM1,000 hingga RM3,000 bagi setiap individu untuk diseludup keluar masuk negara.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia supaya menyekat iklan-iklan penyeludupan berkenaan di media sosial bagi mengekang aktiviti sindiket tersebut daripada terus beroperasi. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |