‘Raya kena ikut anak bulan, dalam kalendar ramalan sahaja’

3 hours ago 3

PETALING JAYA – Terus menjadi teka-teki, pendakwah bebas Pencetus Ummah (PU) Amin menggalakkan orang ramai melakukan persiapan awal susulan Hari Raya Aidilfitri diramalkan pada 20 Mac depan.

Menurut Amin, persiapan awal perlu dilakukan bagi mengelakkan sambutan hari raya menjadi huru-hara.

“Tahun ini kita perlu buat dua perancangan, iaitu raya Jumaat (20 Mac) dan hari Sabtu (21 Mac).

“Plan awal-awal dan kita pun tak akan kalut,” katanya dalam Threads.

Tambahnya Hari Raya Aidilfitri tidak seharusnya disambut berpandukan kepada kalendar tahunan, tetapi berdasarkan panduan iaitu apabila kelihatan anak bulan pada 29 Ramadan.

“Raya kena ikut anak bulan, dalam kalendar itu ramalan sahaja.

“Jadi siapkan dua plan, terima dengan hati terbuka,” katanya lagi.

Terdahulu, Jabatan Mufti Negeri Perak melalui satu kenyataan rasmi menegaskan bahawa takwim hijri yang diedarkan hanyalah berdasarkan data hisab awal sebagai panduan perancangan.

Penetapan rasmi tarikh hari raya masih tertakluk sepenuhnya kepada proses rukyah hilal (cerapan anak bulan) pada petang 29 Ramadan serta pengisytiharan rasmi oleh pihak berautoriti.

Jabatan Mufti Perak juga menjelaskan bahawa parameter hilal bagi tarikh hari raya tahun ini berbeza secara signifikan.

Pada tahun ini, kedudukan hilal Syawal dikesan lebih rendah dan jauh lebih sukar untuk dicerap berbanding situasi tahun 2022.

Secara teknikal, kebarangkalian untuk melihat anak bulan itu lebih mencabar, namun keputusan muktamad tetap menanti pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.

Baru-baru ini, kecoh dalam media sosial Hari Raya Aidilfitri bakal disambut sehari awal iaitu pada 20 Mac apabila kebanyakan kalendar ‘menetapkan’ tarikh tersebut sebagai tarikh hari raya.

Rata-rata melahirkan pelbagai pandangan selain enggan kejadian ‘raya terkejut’ yang berlaku pada 2022 berulang lagi. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |