PETALING JAYA – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memandang serius terhadap penyebaran kandungan di media sosial yang menyentuh isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R).
UMPSA dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan individu yang membabitkan institusi tersebut telah mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian awam.
“UMPSA tidak akan berkompromi dengan penyebaran kandungan palsu atau menghasut kebencian.
“Sentimen 3R ini tidak boleh dipandang remeh dan setiap individu perlu menjaga batasan serta sensitiviti,” katanya.
UMPSA berkata, siasatan sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pelajar yang didapati bersalah atas apa-apa kesalahan tatatertib di bawah Kaedah-kaedah Universiti dan Kolej Universiti (UMPSA) (Tatatertib Pelajar) 2024.
“UMPSA sentiasa mengingatkan semua warga universiti agar sentiasa mengutamakan sikap hormat-menghormati dan kasih sayang dalam hidup bermasyarakat.
“Warga UMPSA diingatkan agar tidak menyebarkan kandungan menyentuh isu berkaitan 3R di media sosial yang boleh menggugat keamanan negara,” katanya.
Sebelum ini kecoh di media sosial apabila seorang pengguna Thread didakwa memuat naik gambar memijak al-Quran sehingga mencetuskan rasa marah dalam kalangan umat Islam.
Individu tersebut yang didakwa merupakan pelajar UMPSA kemudiannya memohon maaf kerana memuat naik gambar tersebut.
“Saya ingin memohon maaf dengan sepenuh hati atas gambar yang saya muat naik sebelum ini yang melibatkan Al-Quran. Perbuatan saya adalah salah, tidak beradab dan sangat tidak menghormati.
“Tiada alasan yang boleh membenarkan tindakan saya. Saya akui bahawa saya bertindak dalam keadaan marah dan dipengaruhi perasaan dendam. Ketika itu saya tidak berada dalam keadaan fikiran yang waras dan tenang,” ujar individu tersebut. – KOSMO! ONLINE

20 hours ago
11














































