Fakrul lebur rekod kebangsaan 400m berpagar

2 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Atlet olahraga negara, Muhammad Fakrul Afizul Nasir akhirnya menamatkan penantian selama dua tahun untuk memperbaharui rekod kebangsaan acara 400 meter (m) lari berpagar miliknya sendiri.

Pelari itu mencatat masa 50.72 saat (s) pada Kejohanan Olahraga Varsity Track & Field (VTF) 2 di Stadium Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), hari ini.

Catatan tersebut membolehkan pelari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu merangkul pingat emas selain memadam rekod kebangsaan terdahulu 51.11s yang dilakarnya ketika temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Kuching, Sarawak.

Lebih manis, kejayaan itu hadir selepas beberapa percubaan sebelum ini gagal menghasilkan catatan yang lebih baik, sekali gus menjadikan rekod baharu tersebut sebagai pencapaian paling bermakna dalam kariernya setakat ini.

“Alhamdulillah, rezeki saya dapat buat rekod kebangsaan hari ini,” katanya ringkas selepas tamat perlumbaan.

Menariknya, saingan akhir acara tersebut turut menyaksikan dominasi atlet UPM apabila rakan sepasukannya, Muhammad Aiman Najmi Mohd Anuar meraih pingat perak dengan catatan 51.49s.

Sebelum itu, Aiman Najmi sempat mencuri perhatian apabila memecahkan rekod kejohanan menerusi catatan 52.77s pada peringkat separuh akhir sebelah pagi.

Bagaimanapun, rekod tersebut hanya mampu bertahan beberapa jam sebelum dipecahkan Fakrul yang tampil dengan larian bertenaga pada aksi final untuk mencipta rekod kebangsaan baharu.

Pingat gangsa pula menjadi milik atlet Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Adib Irfan Azizan yang menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 52.82s.

Kejayaan Fakrul itu dilihat sebagai petanda positif buat olahraga negara menjelang beberapa kejohanan utama akan datang, khususnya dalam usaha meningkatkan lagi standard acara 400m lari berpagar di peringkat antarabangsa. KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |