SETAKAT ulasan ini diselesaikan, filem Chelot masih menghuni tangga nombor satu carta filem terlaris GSC.
Kalau ukuran sebuah filem aksi hanya terletak pada bunyi letupan, hujan peluru dan babak kejar-mengejar, Chelot boleh dianggap sudah menang besar.
Namun, filem arahan Adrian Teh itu tidak sekadar mahu menghidangkan aksi kepada penonton, sebaliknya cuba menyelitkan persoalan tentang pengkhianatan, kesetiaan, keluarga dan harga sebuah keputusan.
Malangnya, apabila aksi yang dipersembahkan terlalu gah, kelemahan pada bahagian cerita menjadi semakin mudah terdampak.
Mengangkat kisah Inspektor Haqqim lakonan Shukri Yahaya yang terjerumus ke dalam permainan sindiket jenayah, Chelot membawa penonton menyusuri dunia kepolisan yang penuh tipu daya dan pengkhianatan.
Haqqim bukanlah watak polis yang serba sempurna. Dia seorang lelaki yang terhimpit dengan masalah kewangan dan sanggup mengambil jalan mudah demi menyelesaikan masalah yang menghimpit hidup.
Dari situ, konflik mula berkembang apabila satu keputusan yang dianggap kecil membawa Haqqim ke dalam situasi jauh lebih besar dan berbahaya.
NADHIR Nasar dalam satu babak menembak menembak yang mendebarkan.Aksi berkesan
Tidak dinafikan, kekuatan terbesar Chelot terletak pada aksinya. Adrian Teh jelas tahu bagaimana mahu memastikan penonton tidak sempat menarik hela panjang, terutama menerusi beberapa babak pertempuran dan kejar-mengejar yang dirangka dengan cukup agresif.
Paling mencuri perhatian antaranya, babak aksi ‘single take’ selama lebih lima minit yang bergerak merentasi lokasi sejauh hampir dua kilometer.
Babak tersebut bukan sekadar mahu menunjuk-nunjuk kemampuan teknikal cumanya, kamera bergerak pantas, watak keluar masuk bingkai dan aksi berlaku tanpa memberi ruang kepada penonton untuk berehat.
Hasilnya, penonton seolah-olah dibawa masuk ke tengah-tengah kekecohan yang berlaku. Inilah ketika Chelot benar-benar terasa hidup.
Jika dibandingkan dengan beberapa filem aksi tempatan sebelum ini, filem berkenaan jelas menunjukkan peningkatan dari sudut skala, koreografi dan keberanian menghasilkan aksi yang lebih besar.
ELEMEN elemen yang menguatkan perjalanan filem Chelot adalah terjemahan karakter para pelakon terlibat terutama Shaheizy Sam.Terjemahan karakter
Dari segi lakonan pula, Shukri Yahaya memikul tanggungjawab besar sebagai Haqqim. Watak tersebut memerlukan Shukri menunjukkan sisi seorang anggota polis yang berada dalam dilema, bukan sekadar lelaki bersenjata yang tahu menembak dan bergaduh.
Dia berjaya membawa kegelisahan watak itu dengan baik, terutama ketika Haqqim mula menyedari bahawa setiap keputusan mempunyai akibat.
Beto Kusyairy pula memberikan persembahan yang solid dan menjadi antara watak yang membuatkan konflik filem ini lebih menarik.
Kendatipun buat penulis secara peribadi, Shaheizy Sam sebagai Datuk Bakri tampil paling menyerlah.
Tidak perlu berlebihan, Sam hanya menggunakan nada suara, ekspresi wajah dan gerak tubuh untuk membina karakter antagonis yang cukup menggerunkan. Dia tidak perlu sentiasa menjerit untuk kelihatan berkuasa.
Cukup dengan berada dalam sesuatu babak, penonton sudah tahu wataknya bukan seseorang yang boleh dipandang ringan.
Walaupun mempunyai barisan pelakon yang kuat dan aksi yang mantap, Chelot bukan tanpa cela.
Masalah paling ketara adalah skrip. Filem ini terlalu ghairah mahu menyimpan rahsia dan memberikan kejutan sehingga beberapa pendedahan terasa seperti dipaksa.
Ada ketika penonton boleh menjangka ke mana arah cerita sebelum watak itu sendiri membuat pendedahan.
Lebih mengecewakan, beberapa watak sampingan tidak diberikan ruang yang mencukupi untuk berkembang dan membina karakter.
Skrip
Sedangkan dengan tempoh tayangan lebih dua jam, filem ini sebenarnya mempunyai peluang untuk menggali sisi manusiawi setiap karakter dengan lebih mendalam.
Akibatnya, ada watak yang muncul sekadar untuk menggerakkan plot sebelum hilang begitu sahaja.
Pada akhirnya, Chelot adalah filem yang lebih berjaya sebagai filem aksi berbanding thriller yang mempunyai cerita kompleks. Naskhah berkenaan mempunyai skala, keberanian dan keyakinan untuk bersaing dalam genre yang selama ini sering dianggap sebagai milik Hollywood. Tetapi jika mahu benar-benar berimpak selepas kredit terakhir, filem ini memerlukan skrip yang lebih kemas dan pembangunan watak yang lebih mendalam.
Pun begitu, usaha Adrian Teh untuk mengangkat standard aksi tempatan wajar diberikan pujian. Chelot mungkin tidak sempurna, tetapi sekurang-kurangnya karya tempatan ini langsung tidak takut untuk bermimpi besar.

2 hours ago
1















![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)































![[VIDEO] Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kulai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-08-at-6.34.46-PM.jpeg)