Jasad mangsa lemas timbul satu jam selepas azan, solat hajat pelajar tahfiz

22 hours ago 9

KOTA TINGGI – Keajaiban laungan azan, solat hajat dan bacaan surah Yasin oleh sekumpulan pelajar tahfiz sekali lagi membuktikan kekuasaan Allah apabila satu lagi jasad mangsa lemas di Pantai Tanjung Lompat di sini ditemui terapung satu jam kemudian.

​Jasad mangsa, Muhammad Adib Hafiy Kamal, 16, yang dikhuatiri lemas sejak Rabu lalu ditemukan terapung pada pukul 11.15 pagi di Tanjung Siang kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian.

​Guru Pendidikan Islam Madrasah Tahfiz Al-Quran Ar-Redha Bandar Penawar, Mohd. Azroy Azhar berkata, dia bersama kira-kira 20 pelajarnya mengambil inisiatif hari kedua dengan menunaikan solat hajat serta membaca surah Yasin bersama ahli keluarga mangsa seawal pukul 9 pagi dan selesai kira-kira pukul 10.30 pagi.

​”Kami melaungkan azan di pesisir pantai dan membacakan surah Yasin bersama ahli keluarga yang terlibat. Kami sentiasa yakin jasad mangsa insya-Allah akan dipertemukan dalam masa terdekat.

​”Bukan sahaja di pantai, malah kami akan meneruskan solat sunat hajat pada setiap malam. Saya juga telah berbincang dengan mudir untuk meneruskan bacaan surah Yasin di madrasah kami sendiri sehinggalah baki jasad ditemui,” katanya ketika ditemui pemberita di Pantai Tanjung Lompat.

​Mohd. Azroy turut berkongsi detik di mana dia dan pelajarnya menyaksikan jasad Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor,16 ditemukan terapung sejurus azan dilaungkan buat kali kedua di tengah laut petang semalam.

​”Alhamdulillah, sangat luar biasa pengalaman semalam. Selepas azan di pesisir pantai, kami dibawa oleh seorang sahabat yang mempunyai bot besar ke tengah lautan bersama pelajar berusia 18 tahun ke atas.

​”Niat awal kami adalah untuk melaungkan azan sebanyak tujuh kali. Namun, takdir Allah SWT mengatasi segalanya, sebaik sahaja selesai laungan azan yang kedua, kami terus terlihat satu jasad terapung di permukaan air,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |