BELUM sampai enam bulan bergelar selebriti, nama penyanyi baharu, Hussain sudah pun mencipta fenomena.
Bermula dengan penyertaannya dalam rancangan Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) , disusuli pula dengan Big Stage Rocketfuel, pacuan karier anak kepada penyanyi legenda, Jamilul Hayat ini terus meroket.
Pentas Big Stage Rocketfuel menjadi medan penebus kekecewaan buat Hussain atau nama lengkapnya Jamak Hussain Jamilul Hayat, 23, yang hanya meraih kedudukan naib juara sewaktu dalam TTMM2.
Berbekalkan lunak suara, pesona jejaka idaman gadis Melayu dan fizikal sempurna, Hussain disifatkan sebagai selebriti yang hadir dengan pakej serba lengkap dan dilabel sebagai ‘The Next Big Thing’.
Memerhati dan melihat dari jauh, sungguh anak jati kelahiran Ipoh, Perak itu belum begitu boleh ditebak mudah. Lantas satu sesi fotografi istimewa sebagai penghias sisipan HibGlam minggu ini diatur bersama pihak pengurusannya Rocket Fuel dengan harapan, hati budinya boleh ditelusuri sepenuh jiwa.
Tiba hari yang dijanjikan, Hussain hadir langsung dari Ipoh. Sehari sebelumnya dia mempunyai majlis ‘meet & greet’ bersama peminat di sana. Pada sebelah malam pula dia terlibat dengan konsert ambang Merdeka.
Biarpun wajahnya kelihatan penat kerana tidak cukup rehat, namun Hussain tetap memberikan komitmen penuh untuk sesi fotografi julung kali bersama HibGlam ini.
Bagaimana perasan menjadi seorang artis? Soal penulis kepadanya membuka bicara.
“Alhamdulillah sejak saya dipilih sebagai juara Big Stage Rocketfuel, tawaran persembahan tidak putus-putus.
“Sejujurnya saya hanya sempat cuti sehari, tetapi ini semua rezeki Allah. Saya pun masih muda. Inilah masanya untuk saya ‘pulun’ cari rezeki.
“Sudah empat hari berturut-turut saya kerja dari tengah hari sampai tengah malam,” katanya.
Soal penulis lagi, bagaimana sambutan majlis ‘meet & greet’ yang khabarnya berlangsung meriah. Jawab Hussain tenang, dia gembira bertemu peminat setia dari seluruh negara dan Singapura.
“Ramai yang datang. Ada yang sanggup terbang dari Sabah, Sarawak dan Singapura.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang datang. Maaf jika ada kekurangan daripada saya,” kongsinya.
SEDAR perjalanan seni masih jauh, Hussain kini tidak berkira dengan jadual padat. Niatnya hanyalah untuk mencari rezeki demi membalas jasa keluarga. – FARIZRUSADIO
Jadi obsesi peminat
Minat dan sokongan luar biasa yang diterima baik dalam media sosial atau bersemuka sebenarnya masih satu kejutan buat Hussain. Lebih dramatik, ada peminat sanggup berbalah deminya.
Ada juga peminat yang bertindak seperti ‘stalker’ apabila cuba mendedahkan lokasi tempat tinggal Hussain. Mudahnya, dia kini bukan sahaja artis sensasi, tetapi obsesi baharu buat peminat seni tempatan.
Ditanya tahap penerimaannya mendepani bermacam ragam peminat, kata Hussain, dia bersyukur kerana diminati, namun tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak.
“Sejujurnya saya pun terkejut bila ada peminat yang fanatik. Tetapi kita tak boleh kawal atau pilih siapa yang akan minat kita. Begitu juga dengan pembenci. Saya cuba sedaya upaya melayan semua peminat sama rata. Harap peminat tidak berbalah kerana saya,” ujarnya.
Jujurnya, tidak semua selebriti mampu mengendalikan gelombang kemasyhuran luar biasa dengan tenang. Tersilap langkah, mungkin hanyut terbawa arus populariti.
Bak kata pepatah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, bagi Hussain, dia sentiasa menyematkan insan tersayang iaitu ibu bapa dan keluarga di dalam hati agar kekal membumi.
“Insya-Allah saya tak akan lupa diri. Saya mempunyai pasukan yang menjaga saya dengan baik iaitu keluarga sendiri. Sebab itu bila saya buat keputusan untuk pindah menetap di sini, saya bawa keluarga untuk tinggal bersama.
“Peminat-peminat juga sentiasa memberikan nasihat dan panduan agar saya tak mudah lupa diri,” kongsinya.
MEMILIKI sifat yang pemalu, Hussain ambil inisiatif menonton rakaman temu bual artis lain dalam YouTube demi meningkatkan skil komunikasinya dengan pihak luar, media terutamanya.Mahu jadi versatil
Selain memiliki bakat yanyian, Hussain sebenarnya memiliki bakat terpendam dalam bidang penulisan. Siapa sangka, dia selalu menulis tentang aktiviti hariannya di dalam sebuah diari sebelum bergelar selebriti.
“Saya nak jadi artis serba boleh. Kalau boleh saya nak cuba pelbagai cabang seni termasuk menulis lagu dan berlakon.
“Dahulu sebelum bergelar penyanyi, dunia saya hanyalah dengan motosikal. Saya selalu tulis segala aktiviti harian saya dalam buku. Contohnya kalau saya ada pergi tempat yang menarik dan cantik, saya akan catat.
“Mungkin hasil tulisan saya nanti boleh dijadikan inspirasi untuk menulis lirik lagu. Saya boleh selitkan kisah cinta dalam lirik berkaitan pengalaman saya,” tuturnya.
Biarpun kekuatan Hussain terletak pada genre balada, namun sebagai penyanyi dia mahu menyanyikan pelbagai jenis irama, termasuk punya impian memartabatkan irama tradisional.
“Kalau boleh saya nak menyanyi pelbagai jenis lagu termasuklah lagu raya dan patriotik. Tetapi kekuatan saya lebih kepada lagu balada dan irama tradisional.
“Bagi saya irama tradisional sangat istimewa kerana menunjukkan jati diri Melayu. Saya punya kenangan indah sewaktu membuat persembahan menyanyikan lagu tradisional sewaktu ‘busking’ dahulu.
“Ada ‘mat salleh’ suka dan puji nyanyian saya. Mereka siap rakam persembahan saya waktu itu. Kalau boleh, saya nak ada lagu irama tradisional sendiri,” katanya.
Bercakap soal lakonan pula, jika ada ruang dan kepercayaan, Hussain teringin menjayakan watak bad boy atau lelaki garang.
“Rasanya saya macam tak sesuai bawa watak playboy. Kalau watak bad boy, mungkin sesuai Tetapi kalau ada tawaran watak-watak lain, saya tak menolak untuk mencuba,” ujarnya.
HUSSAIN berasa lebih sesuai membawa watak ‘bad boy’ berbanding ‘playboy’ jika diberi tawaran lakonan.Nak beli Harley Davidson
Tidak berkira soal rehat, Hussain sebenarnya menanam impian untuk memiliki sebuah motosikal Harley Davidson satu hari nanti.
Namun sebelum merealisasikan hasrat tersebut, dia terlebih dahulu mahu membeli sebuah kereta. Itu antara perancangan kegunaan wang kemenangannya dalam Big Stage Rocketfuel yang bernilai RM200,000.
“Selain membantu ibu dan ayah, saya gunakan wang tersebut untuk beli kereta supaya senang bergerak pergi kerja. Saya juga merancang untuk bercuti ke Jepun selepas penat bekerja,” kongsinya.
Jika diimbas semula detik pertama kali penulis menemu bual Hussain pada awal kemunculannya, dia sudah banyak berubah. Jika dahulu Hussain agak pemalu dan tidak banyak bercakap, tetapi kali ini dia lebih ramah dan rancak butir bicaranya.
Rupa-rupanya Hussain mengambil inisiatif belajar cara berkomunikasi dengan menonton video temu bual artis.
“Saya memang pemalu orangnya. Tetapi kadang-kadang saya cemburu bila tengok kawan-kawan cakap banyak sewaktu temu bual. Mereka jauh lebih muda daripada saya tetapi petah berbicara. Saya rasa malu.
“Jadi saya tonton video dalam YouTube untuk belajar macam mana nak jawab soalan bila ditemu bual. Kalau dahulu orang tanya saya jawab sepatah saja. Tapi sekarang dah banyak sikit,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hussain bakal muncul dalam satu lagi program terbaru Astro iaitu Meet Your Idol tidak lama lagi.
Solekan & Dandanan: El Manda Zuhairy | Penata Gaya: Amy Miyake
1 hour ago
2















![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)































![[VIDEO] Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kulai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-08-at-6.34.46-PM.jpeg)