Saya dah peluk Islam, saya dah ucap syahadah – Cikgu Chandra

21 hours ago 9

PETALING JAYA – Aktivis, S. Chandrasegaran atau lebih dikenali sebagai Cikgu Chandra mengesahkan sudah memeluk Islam dan melafazkan dua kalimah syahadah.

Perkara itu disahkan sendiri Cikgu Chandra menerusi satu rakaman video hari ini di Facebook selepas timbul persoalan mengenai status agamanya susulan beliau menyatakan hasrat untuk memeluk Islam sebelum ini.

“Betulkah Cikgu Chandra dah memeluk Islam? Kenyataan itu memang benar. Saya pun dah bersyahadah. Tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah,” katanya.

Menurutnya, beliau kini sedang berjinak-jinak mendalami Islam termasuk membaca dan mengaji al-Quran serta meminta orang ramai memberikannya ruang untuk melalui fasa tersebut.

Pada masa sama, beliau berharap perubahan tersebut akan menjadikannya seorang individu yang lebih baik dan berakhlak mulia pada masa akan datang.

“Saya masih lagi baca al-Quran, mengaji al-Quran, berjinak-jinak. Berikan saya ruang untuk bertenang. Berikan saya panduan.

“Insya-Allah selepas ini mungkin korang akan nampak Cikgu Chandra yang lebih berakhlak mulia. Tak ada lagi istilah ‘kepala otak’ semua,” katanya.

Dalam pada itu, Cikgu Chandra meminta orang ramai memberikannya ruang untuk menyelesaikan beberapa perkara peribadi termasuk masalah domestik dan kes mahkamah.

Beliau turut memaklumkan akan bertemu dengan umat Islam, namun mahu mengambil tempoh kira-kira enam bulan untuk bertenang dan menyesuaikan diri.

“Bagi saya ruang untuk menyelesaikan masalah-masalah domestik, kes-kes mahkamah. Insya-Allah saya akan bertemu dengan umat-umat Islam.

“Mungkin dalam masa enam bulan ini, saya masih lagi dalam tempoh bertenang. Berikan saya ruang,” katanya.

Pada 28 Ogos lalu, Kosmo! melaporkan Cikgu Chandra menyatakan hasrat untuk memeluk Islam dan memaklumkan lafaz syahadah untuk bergelar saudara baharu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Ketika itu, beliau turut memaklumkan sedang berjinak-jinak mengaji al-Quran selain memilih untuk tidak menghebahkan lebih lanjut perkembangan berkenaan bagi melindungi diri dan keluarganya.– KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |