Penulis borang otai raih perhatian netizen

3 hours ago 3

PETALING JAYA – Seorang warga emas yang menawarkan khidmat membantu mengisi borang di luar pejabat kerajaan berhampiran Kementerian Dalam Negeri (KDN) Jalan Duta, mencuri perhatian netizen selepas kisahnya tular di media sosial.

Menerusi hantaran oleh @Dianaosman83 di laman Threads, lelaki berusia itu dikatakan mengenakan caj sekitar RM5 hingga RM10 bagi setiap borang yang diisi untuk pelanggan.

“Masih wujud penulis borang. Uncle ini mengenakan caj RM5 mengikut jenis borang, malah ada juga yang hanya RM10.

“Sesiapa yang kurang arif atau keliru untuk mengisi borang boleh mendapatkan bantuan uncle ini,” katanya.

Hantaran tersebut turut memaparkan lelaki itu duduk di sebuah meja kecil sambil membantu orang ramai menguruskan dokumen dipercayai melibatkan urusan kerajaan.

Perkongsian itu meraih pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya kagum dengan pengetahuan dimiliki warga emas berkenaan selain menganggap perkhidmatan tersebut masih relevan terutama kepada golongan kurang mahir menguruskan dokumen.

Seorang pengguna, @Aloverasoo mendakwa lelaki itu bukan sekadar membantu mengisi borang, malah memahami pelbagai prosedur dan dokumentasi kerajaan.

“Jika tidak silap, pak cik ini menguasai beberapa bahasa selain mempunyai pengetahuan berkaitan undang-undang.

“Dia juga mengetahui pelbagai urusan kerajaan termasuk dokumen yang diperlukan bagi setiap permohonan. Cara penerangannya pula sangat jelas dan perlahan supaya mudah difahami,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna, @Almuizz_abu_bakar berkata, perkhidmatan seperti itu pernah popular suatu ketika dahulu terutama di kawasan pejabat kerajaan.

“Dahulu ramai menawarkan perkhidmatan seperti ini dengan membantu orang ramai mengisi borang di luar pejabat kerajaan.

“Namun sekarang semakin jarang ditemui kerana kebanyakan urusan sudah dilakukan secara moden dan dalam talian,” ujarnya.

Dalam pada itu, ada juga netizen berpendapat khidmat berkenaan masih diperlukan terutama melibatkan warga asing atau individu yang kurang mahir membaca dan memahami dokumen rasmi.

“Kalau di kawasan KDN, mungkin ramai warga asing yang tidak tahu cara mengisi borang dan memerlukan bantuan,” kata @Atheinlyaa.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |