JAKARTA – Gunung berapi Anak Krakatau meletus, menyebabkan semua penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta Jakarta dibatalkan seketika ketika abu vulkanik meliputi ruang udara barat Indonesia, lapor saluran berita ABC hari ini.
Agensi Geologi Indonesia menyatakan, pulau gunung berapi terletak di Selat Sunda di antara Pulau Jawa dan Sumatera itu aktif kelmarin dan meletus selama 30 saat pukul 3.53 pagi (waktu tempatan) semalam.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan tiada arahan pemindahan dikeluarkan. Penempatan penduduk terdekat terletak lebih 16 kilometer dari gunung berapi itu.
Bagaimanapun, agensi sama memberi amaran kepada penduduk dan pelawat supaya berada sekurang-kurangnya pada jarak 3 kilometer dari kawah aktif Anak Krakatau.
Abu gunung berapi tersebar di sebahagian ibu negara Indonesia, Jakarta dan wilayah Lampung di hujung selatan Pulau Sumatera, kata Pusat Gunung Berapi dan Pengurusan Bencana Geologi(PVMBG).
“Disebabkan peningkatan aktiviti daripada letusan Anak Krakatau, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta menggantung sementara operasi penerbangan dari pukul 5.30 pagi hingga 9.30 pagi (waktu tempatan),” kata pihak pengurusan lapangan terbang dalam nasihat perjalanan awal pagi ini.
Penumpang di lapangan terbang paling sibuk di Indonesia itu meminta bayaran balik dan menuntut semula bagasi berdaftar ketika papan tanda perlepasan memaparkan senarai penerbangan yang dibatalkan semakin bertambah.
Sementara itu agensi volkanologi Indonesia dan Pusat Penasihat Abu Gunung Berapi Darwin di Australia mengenal pasti dua awan abu gunung berapi menggunakan imej satelit.
Gumpalan awan vulkanik pertama tertumpu pada ketinggian 6,100 meter dan bergerak ke arah ke timur laut, menjejaskan sebahagian Jakarta, Banten, Jawa Barat dan perairan sekitarnya.
Awan kedua pula setinggi 15,200 meter dan bergerak ke arah barat serta barat laut, meliputi sebahagian wilayah Banten, Lampung dan Bengkulu, selatan Selat Sunda serta perairan Lautan Hindi di barat Sumatera.
Runtuhan letupan Anak Krakatau menyebabkan tsunami pada tahun 2018 yang mengorbankan sekurang-kurangnya 430 orang di Sumatera dan Jawa.- AGENSI

6 hours ago
6













![[VIDEO] Kelibat ibu, anak harimau kumbang bersantai di Hutan Simpan Berembun](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-05-at-17.03.08-e1788599776815.jpeg)


![[VIDEO] Jerebu, Indonesia terbukti negara dunia ke-3 sebenar – KJ](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-05-at-14.51.17.jpeg)































