PJ Half Marathon batal, peserta kecewa salahkan Indonesia

18 hours ago 9

PETALING JAYA – Hasrat ribuan peserta untuk menyertai PJ Half Marathon 2026 esok berkubur selepas penganjur memutuskan untuk membatalkan acara larian tersebut susulan kualiti udara yang masih tidak sihat.

Penganjur dalam kenyataannya memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira ramalan yang menunjukkan Indeks Pencemar Udara (IPU) dijangka bertambah baik dalam tempoh 24 jam akan datang, namun udara masih berada pada tahap tidak sihat.

Situasi itu boleh memberi kesan kepada kesihatan peserta, sukarelawan, kru dan semua pihak terbabit dalam acara berkenaan.

“Dengan berat hati kami mengumumkan pembatalan PJ Half Marathon 2026. Keputusan ini tidak dibuat dengan mudah.

“Walaupun ramalan terkini menunjukkan IPU mungkin bertambah baik dalam tempoh 24 jam akan datang, keadaan udara masih tidak sihat,” kata kenyataan itu.

Penganjur berkata, aspek keselamatan komuniti pelari menjadi keutamaan dan pembatalan tersebut adalah keputusan paling wajar serta bertanggungjawab ketika ini.

Bagaimanapun, peserta yang masih mahu meneruskan larian esok diberi pilihan untuk menyertai laluan 5 kilometer (5km) yang disediakan secara pilihan.

Bagi laluan tersebut, pelari kategori 30km dijadualkan bermula pada pukul 7 pagi, diikuti peserta 21km pada pukul 7.30 pagi, manakala peserta 10km dan 5km bermula pada pukul 8 pagi.

Sesi pemanasan badan pula hanya dibenarkan sehingga pukul 6.30 pagi.

Bagi kategori 30km, 21km dan 10km, cip masa akan dipasang di lokasi mula dan tamat bagi memastikan pengesahan masa dibuat dengan betul serta mengelakkan penyalahgunaan atau penipuan kutipan ‘entitlements’.

Dalam pada itu, peserta berdaftar boleh mengambil ‘race entitlements’ hari ini dari 8 pagi hingga 12 tengah hari di Laman MBPJ.

Pembatalan itu turut mengundang kekecewaan dalam kalangan peserta yang mendakwa sudah membuat persiapan dan perancangan perjalanan untuk acara berkenaan.

Sebahagian peserta turut meluahkan rasa kecewa terhadap situasi jerebu yang didakwa berpunca akibat pencemaran rentas sempadan dari negara jiran.

“Sudah berbulan-bulan buat persiapan, tiba-tiba batal. Salahlah Indonesia. Asap mereka yang buat kita terpaksa tanggung kecewa,” luah seorang peserta.

Seorang lagi peserta dari Sabah berkata, dia sudah tiba di Lembah Klang untuk menyertai acara berkenaan namun memahami keputusan yang dibuat penganjur atas faktor keselamatan.

“Saya datang dari Sabah khas untuk acara ini. Memang sedih, tetapi faham keadaan kualiti udara. Harap isu jerebu dari Indonesia segera berakhir,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |