‘Tak gaduh, saya tak mahu campur urusan keluarga orang lain’ 

4 hours ago 3

PETALING JAYA – “Berbulan sudah (kali terakhir hubungi dia). Bergaduh? Nak bergaduh kenapa?”

Demikian respons pelakon Didie Alias yang menafikan dakwaan dirinya bermasam muka dengan rakan baiknya yang juga aktres Amyza Aznan.

Menjelaskan lanjut, pemilik nama sebenar Fadzilah Mohd. Ali, 54, memaklumkan tidak kelihatan bersama kebelakangan ini adalah disebabkan kekangan jadual kerja serta komitmen masing-masing yang kian padat.

“Saya sudah lama tidak berjumpa dengan dia (Amyza) sebab kami sibuk. Untuk perkembangan suami dia, rasanya saya hanya melihat melalui media sosial sahaja.

“Kami tidak bergaduh, masing-masing ada kerjaya sendiri dan perkara yang perlu dilakukan.

“Cuma sekarang ini saya banyak fokus kepada keluarga saya dan tidak mahu campur urusan keluarga orang lain,” katanya dalam temu bual bersama Melodi.

Disoal sama ada timbul rasa berkecil hati, pelakon drama Cukup Derita Itu memilih untuk mengunci mulut selain mengakui lebih selesa mengecilkan lingkaran sahabat demi menjaga hati sendiri.

“Tidak tahulah, saya rasa selepas ini saya kena kecilkan ‘circle’ saya. Kalau nak kawan dengan saya kawanlah.

“Siapa tidak mahu kawan dengan saya lantak awaklah. Saya rasa macam diri ini bila diperlukan, dicari.

“Kalau tidak lantaklah, awak punya fasal lah,” ujarnya.

Pada masa sama, dia memilih untuk beramah mesra dengan rakan-rakan seindustri ketika di lokasi penggambaran sahaja tanpa menjalinkan hubungan yang terlalu rapat di luar waktu kerja.

“Sekarang pun ‘circle’ saya sudah kecil. Saya hanya jumpa kawan-kawan di set penggambaran saja.

“Tidak seperti dulu lepak. Tidak mahu (persahabatan) itu terlalu mendalam sebab nanti saya yang kecewa, rasa macam terhegeh-hegeh pula,” luahnya.

Tambahnya, dia seorang yang setia dalam bersahabat, namun tidak teragak-agak untuk menutup pintu hatinya jika dikhianati.

“Mungkin ayat angkat kaki itu betul. Maksudnya bila saya berbuat demikian saya sudah tidak mahu mengambil tahu apa yang jadi dengan orang itu kecuali jika Allah SWT buka semula hati saya.

“Saya kalau sayang orang, saya akan sayang sepenuhnya tapi bila hati sudah tertutup, saya tidak mahu ambil tahu.

“Masalahnya kita terlalu baik dengan orang, tapi mereka tak hargai apa yang kita buat. Saya buat bukan untuk dapat balasan tetapi simpati sebagai keluarga dan kawan,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, Didie kerap dilihat menemani Amyza terutamanya ketika wanita itu berada dalam fasa sukar termasuk semasa anak sulungnya, Andre Mikhail meninggal dunia pada Februari lalu.

Namun, selepas fasa duka berkenaan, kelibat mereka berdua jarang kelihatan bersama sehingga mencetuskan spekulasi bahawa hubungan akrab mereka sudah retak. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |