TERLETAK di utara Johor, Tangkak menawarkan pengalaman percutian yang tidak hanya tertumpu kepada keindahan agropelancongan, malah memiliki kekayaan budaya, makanan dan aktiviti rekreasi.
Keindahan Gunung Ledang yang menjadi antara ikon utama Tangkak bukan sahaja sarat dengan ceritera cinta Sang Puteri dan Panglima, malah menjadi destinasi percutian untuk pelbagai golongan pelancong.
Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak, Shamsul Ariff Sulaiman berkata, kepelbagaian produk pelancongan yang terdapat di daerah itu menjadi tarikan buat pelawat.
Katanya, keindahan landskap, air terjun, hutan semula jadi dan aktiviti rekreasi menjadikan kawasan sekitar Gunung Ledang sebagai tempat yang sesuai untuk pelawat menikmati pengalaman dekat dengan alam.
“Pengunjung boleh memulakan perjalanan dengan menikmati keindahan alam di kawasan Gunung Ledang, sebelum meneruskan pengalaman agro di kawasan kampung dan sawah di Sawah Ring.
“Mereka juga boleh juga mencuba makanan tradisional serta produk usahawan tempatan, melakukan aktiviti rekreasi dan kebudayaan.
“Keunikan ini turut dikukuhkan dengan kepelbagaian masyarakat dan warisan budaya yang terdapat di Tangkak, di mana seni, adat, makanan, kraf tangan dan tradisi menjadi aset utama,” katanya kepada CitaRasa.
GUNUNG LEDANG merupakan tarikan utama di daerah Tangkak, Johor.Tambahnya, hamparan sawah, dusun buah-buahan khususnya durian serta aktiviti berkaitan pertanian membuka peluang kepada pengunjung untuk menikmati pengalaman agropelancongan yang lebih autentik.
“Pelancong bukan sekadar datang melihat sesuatu tempat, malah berpeluang merasai, mencuba, mempelajari dan berkongsi pengalaman bersama komuniti setempat.
“Usaha memperkenalkan jenama Amazing Tangkak menerusi penganjuran festival, program kebudayaan, aktiviti sukan dan rekreasi, promosi makanan serta program agropelancongan membuatkan destinasi ini lebih menarik,” katanya.

Selain itu, keindahan lukisan mural yang menghiasi beberapa bangunan di sekitar bandar Tangkak menjadikan suasana lebih meriah, selain menjadi tarikan untuk pengunjung mengabadikan kenangan.
Shamsul berkata, kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri, agensi pelancongan, pemain industri dan komuniti perlu diperkukuhkan bagi memastikan sektor pelancongan di Tangkak berkembang secara tersusun serta mampan.
“Setiap program dilaksanakan perlu mempunyai kesinambungan dan mampu membentuk satu pengalaman destinasi yang lengkap.
“Pembangunan pelancongan juga berperanan sebagai pemangkin ekonomi penduduk tempatan, di mana limpahan perbelanjaan pelancong dapat dinikmati oleh pengusaha inap desa, makanan, aktiviti rekreasi, produk tempatan, pertanian serta peniaga kecil,” katanya.
Tambahnya, lokasi menarik lain yang terdapat di daerah tersebut adalah Dataran Tangkak, ATV Adventure, Kampung Payamas, dan Taman Negara Johor Gunung Ledang.
Hakikatnya, kekayaan alam, budaya, makanan dan pengalaman yang ditawarkan di Tangkak menjadikan daerah itu sangat berpotensi besar untuk muncul sebagai antara destinasi percutian keluarga di Johor.

6 hours ago
7













![[VIDEO] Kelibat ibu, anak harimau kumbang bersantai di Hutan Simpan Berembun](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-05-at-17.03.08-e1788599776815.jpeg)


![[VIDEO] Jerebu, Indonesia terbukti negara dunia ke-3 sebenar – KJ](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-05-at-14.51.17.jpeg)































