GEORGE TOWN – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkongsi pengalaman beliau menyantuni seorang tokoh ulama di Pulau Pinang ketika sambutan Hari Raya Aidiladha, baru-baru ini.
Menerusi laman Facebooknya, Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, beliau berbesar hati menziarahi mantan Ahli Majlis Fatwa Negeri Pulau Pinang iaitu Tuan Guru Datuk Rosli Othman atau lebih dikenali sebagai Tok Ayah.
“Tok Ayah bukan calang-calang orang, beliau pakar dalam empat mazhab dan jadi rujukan bukan saja masyarakat, malah pemimpin politik pun datang cari pandangan beliau. Lagi menarik, Tok Ayah ni memang hebat dalam bahasa Arab, sampai pernah tulis ucapan pemimpin negara dalam bahasa tu.
“Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah JHEAIPP dan hasilkan lebih 25 buah buku agama berbentuk terjemahan. Selain tu, beliau salah seorang panel tauliah yang bertanggungjawab menilai guru-guru agama di Pulau Pinang,” katanya hari ini.
Beliau memberitahu, Tok Ayah disifatkan seorang murabbi yang rendah hati mesra dengan semua lapisan masyarakat.
“Orang kampung, orang bandar, anak muda, orang tua, orang politik tanpa kira parti, semua boleh duduk sekali dengan beliau. Beliau bukan saja jadi rujukan dalam hal agama, tapi juga sosial dan kebajikan. Kehadiran Tok Ayah ni macam cahaya yang bimbing masyarakat ke arah hidup lebih beradab dan berilmu.
“Masa nak balik, Tok Ayah hadiahkan saya sebuah kitab alih-aksara dalam Bahasa Melayu, ‘Syarah Bagi Matan Jawharah al-Tauhid’,” ujarnya.
Dalam pertemuan tersebut, Steven memaklumkan yang pertemuannya dengan figura itu merupakan kenangan paling bermakna buat dirinya.
“Saya sangat berterima kasih kat Tok Ayah sebab sudi terima kunjungan kami dengan penuh mesra.
“Ziarah ini jadi kenangan besar untuk saya dan doa saya semoga Tok Ayah terus sihat serta kuat, terus jadi cahaya bimbingan untuk masyarakat supaya generasi muda hari ini bukan saja berilmu, tapi juga berakhlak mulia,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

5 hours ago
2


















![[VIDEO] MB Negeri Sembilan umum bubar DUN berkuat kuasa 5 Jun](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/WhatsApp-Image-2026-06-04-at-23.44.18.jpeg)


























