IAME Siri Asia sasar Malaysia jadi hab pembangunan bakat

5 hours ago 3

MALAYSIA berpotensi muncul sebagai hab pembangunan pelumba empat roda di rantau Asia apabila IAME Siri Asia merangka laluan lebih menyeluruh bagi membimbing bakat muda dari peringkat akar umbi hingga ke pentas profesional.

Pengarah Eksekutif Kinex Private Limited dan IAME Series Asia, Daniel Ling berkata, usaha berkenaan selari dengan perancangan pihaknya untuk membawa lebih banyak program pembangunan pemandu serta operasi sukan permotoran ke negara ini.

Katanya, IAME Series Asia bukan sekadar menyediakan platform perlumbaan semata-mata, sebaliknya komited membina sebuah ekosistem tersusun bagi memastikan pelumba muda memiliki hala tuju masa depan yang jelas.

“Tahun depan merupakan fasa penting untuk kami mengembangkan lagi sukan permotoran di Malaysia menerusi penubuhan Kinex Motorsport. Kami berhasrat membawa segala operasi kembali ke sini dan menjadikannya hab serta ibu pejabat serantau kami,” katanya.

Menurut Daniel, antara langkah proaktif yang sudah digerakkan ialah pengenalan Kinex Rising Stars Academy bagi membantu pelumba baharu menceburi sukan go-kart tanpa perlu terbeban dengan kos permulaan yang terlalu tinggi.

Beliau menjelaskan, faktor kos sering menjadi halangan utama buat peminat sukan permotoran empat roda berikutan seseorang pelumba baharu terpaksa membelanjakan ribuan ringgit hanya untuk menjalani sesi ujian asas.

Bagi memperkukuh struktur berkenaan, IAME Series Asia turut merancang memperkenalkan kejohanan baharu, IAME Straits Cup pada tahun hadapan dengan menggabungkan siri perlumbaan Malaysia dan Singapura.

Daniel berkata, kejohanan tersebut bakal berfungsi sebagai platform peringkat kebangsaan sebelum bakat yang berpotensi diketengahkan ke saingan serantau.

“Straits Cup akan menjadi langkah permulaan di peringkat domestik. Pelumba daripada akademi boleh melangkah ke kejohanan peringkat kebangsaan ini sebelum bersaing di peringkat serantau dalam IAME Series Asia.

“Kami mahu menyediakan laluan yang telus agar pelumba dan ibu bapa memahami perancangan seterusnya selepas melepasi setiap peringkat,” jelasnya. 

Perlumbana IAME Series Asia dalam mencungkil bakat terbukti apabila berjaya melahirkan barisan pelumba yang kini mengharumkan nama di persada dunia, antaranya pelumba wanita Filipina, Bianca Bustamante yang melangkah ke Akademi F1, serta Christian Ho dan Yvan David yang kini bersaing dalam kancah perlumbaan jentera formula.

“Pelumba datang kepada kami, membina kemahiran dan menimba pengalaman, kemudian mereka menentukan hala tuju masing-masing. Peluang inilah yang mahu kami sediakan secara berterusan.

“Tahun depan, saingan IAME Series Asia dijadualkan berlangsung sebanyak empat pusingan di Malaysia, sekali gus merancakkan lagi kalendar sukan permotoran tempatan. Musim ini, Malaysia terus menjadi tarikan pelumba antarabangsa apabila siri ini melakar rekod penyertaan tertinggi dengan 122 pelumba berdaftar pada pusingan penutup, mengatasi rekod 119 pelumba pada pusingan terdahulu,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |