Bapa dah pandai main TikTok, tahu gosip saya dan Azeva – Zaki Yamani

4 hours ago 1

KUALA LUMPUR – Gosip menjalin cinta dengan rakan seperjuangan, Azeva meraih perhatian bapanya, penyanyi Zaki Yamani terkejut apabila Datuk Jamal Abdillah cuba mendapatkan pengesahan khabar angin tersebut daripadanya.

Zaki atau nama sebenarnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, 20, berkata, dia tidak menyangka bapanya mengetahui desas-desus berkenaan menerusi aplikasi TikTok.

“Ketika kami berjumpa pada satu persembahan, bapa ada tanya sama ada saya dengan Azeva berkawan. Saya jawab, kawan sahaja.

“Selepas itu, dia tanya mengenai perkara lain pula. Bapa saya ini memang ‘random’ dan akan tanya macam-macam perkara setiap kali berjumpa.

“Tapi kali ini saya rasa dia dapat info dari TikTok. Apa pun nampaknya dia okey sahaja, cuma pesan agar saya fokus kepada kerjaya,” katanya ketika ditemui pada majlis eksklusif bersama Zaki Yamani di Hotel St Giles, di sini, semalam.

Bercerita lanjut, Zaki berkata, bapanya juga penghibur tersohor itu kini sebenarnya semakin aktif menggunakan media sosial terutama TikTok yang membolehkannya pantas mendapat pelbagai maklumat berlairan dunia hiburan.

“Awalnya saya pelik macam mana bapa boleh tahu gosip berkenaan. Saya tanya abang, rupa-rupanya bapa kami sudah pandai main TikTok di rumah dan sudah pandai guna telefon.

“Dahulu dia cuma tahu buka WhatsApp, hantar status, mesej, ayat al-Quran atau selawat. Sekarang dia sudah pandai main TikTok,” ujarnya.

Mengulas hubungannya dengan anak kepada produser Datuk A. Aida, Zaki menegaskan mereka hanya teman rapat, bukan kekasih seperti disangkakan pihak luar.

Namun katanya, penyanyi dan pelakon terbabit merupakan antara rakan wanita yang paling rapat dengannya ketika ini.

“Saya dengan Azeva memang kawan. Dia antara rakan wanita yang paling rapat dengan saya. Kami kenal sejak tahun lalu.

“Saya ‘follow’ dia di media sosial dan dia ‘follow’ saya juga. Selepas itu, kami ‘unfollow’ dan tahun ini ‘follow’ balik, biasalah, waktu itu baru kenal-kenal.

“Kemudian tahun ini kami lebih kerap berhubung terutama menerusi mesej sampai sekarang kami jadi kawan baik,” katanya.

Mengenai majlis santai bersama peminat, akuinya acara tersebut diadakan bersempena penyertaaannya di bawah syarikat rakaman antarabangsa, Sony Music Malaysia.

Majlis menandatangani kontrak antara Zaki dan Sony Music Malaysia itu turut disaksikan Pengarah Urusan Sony Music Malaysia, Singapura, Vietnam dan Projek Khas Asia Tenggara, Kenny Ong.

“Saya amat bersyukur meraih kepercayaan label gergasi ini Dan menjadi sebahagian daripada ahli keluarga Sony Music.

“Peluang ini juga sebagai langkah penting dalam perjalanan kerjaya saya. Insya-Allah, saya akan terus belajar, bina dan kembangkan kerjaya nyanyian serta memberikan yang terbaik buat peminat dan industri muzik,” ujarnya.

Menerusi perjanjian tersebut, Zaki mengikat kontrak selama tiga tahun sekali gus kerjaya seninya bakal dikendalikan syarikat terbabit. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |