Lesen spa dipermudah, jangan ada ruang rasuah – Hannah Yeoh

1 hour ago 1

PETALING JAYA – Syarat pelesenan pusat kecantikan dan kesihatan termasuk spa serta premis urutan di ibu negara bakal ditambah baik bagi memudahkan pengusaha menjalankan perniagaan secara sah tanpa mengabaikan aspek integriti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dalam satu hantaran di laman Facebook berkata, perkara itu dibincangkan bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing bagi mencari kaedah terbaik menyelaras keperluan industri berkenaan.

Menurutnya, syarat pelesenan perlu lebih mudah difahami pengusaha, namun pada masa sama standard ditetapkan tidak boleh dikompromi.

“Kita mahu syarat yang lebih mudah difahami oleh pengusaha tetapi standard dan integriti mesti dijaga. Proses mesti bersih dan tidak boleh ada ruang untuk rasuah atau bayaran tidak sah,” katanya.

Hannah berkata, beliau turut mencadangkan penyelarasan seterusnya dipengerusikan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

Katanya, keanggotaan penyelarasan itu akan melibatkan Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre (ITC), Mohammad Faisal Abu Suaib Khan dan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban serta agensi berkaitan.

Jelasnya, penglibatan pelbagai agensi penting supaya isu berkaitan pelesenan, penguatkuasaan, tenaga kerja dan keperluan industri dapat diteliti secara menyeluruh.

Dalam pada itu, Hannah berkata, kepakaran ITC juga diperlukan memandangkan Kuala Lumpur menerima pelancong dari seluruh dunia khususnya pelancong Muslim.

“Sebab itu kepakaran ITC penting supaya industri ini turut mengambil kira keperluan pasaran pelancongan mesra Muslim. Matlamat kita ialah memudahkan perniagaan yang sah, memastikan agensi kerajaan bergerak bersama dan menjaga imej Kuala Lumpur serta Malaysia,” katanya.

Langkah itu sekali gus dijangka mewujudkan penyelarasan lebih jelas antara agensi kerajaan dengan pemain industri tanpa mengetepikan aspek penguatkuasaan dan pematuhan syarat. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |