Syahida siswi UPSI Olahragawati SUKIPT

4 hours ago 2

BERMULA dengan ajakan rakan untuk mencuba kayak ketika berusia 13 tahun, Syahida Asyiqin Rusli tidak pernah menyangka sukan yang pada awalnya dilakukan sekadar suka-suka itu akhirnya menjadi sebahagian besar dalam hidupnya.

Lebih menarik, gadis kelahiran Kuala Terengganu itu sebenarnya pernah takut air sebelum akhirnya jatuh cinta dengan sukan berkenaan.

Kini pada usia 22 tahun, Syahida bukan sahaja aktif sebagai atlet kayak, malah sedang menggalas tanggungjawab sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Sains Kejurulatihan) dengan Kepujian di Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Kehidupannya setiap hari berlegar antara kelas, latihan dan tugasan, namun kepenatan itu dianggap sebahagian daripada perjalanan mengejar impian.

“Saya memang bersyukur dengan peluang yang saya ada sekarang.

“Walaupun agak mencabar untuk bahagikan masa antara pengajian dan latihan, saya cuba buat kedua-duanya sebaik mungkin kerana bagi saya akademik dan sukan sama-sama penting.

“Saya tidak mahu sebab terlalu fokus kepada sukan, akademik terabai dan begitu juga sebaliknya. Jadi, saya cuba jalankan kedua-duanya sebaik mungkin dan buat yang terbaik untuk setiap tanggungjawab yang saya ada,” katanya kepada K-Kampus.

Terbaharu, segala usaha itu berbalas cukup gemilang apabila Syahida dinobatkan sebagai Olahragawati Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2026 selepas meraih pingat emas dalam acara TK1 200 meter (m) dan melebur rekod kebangsaan.

Lebih manis, dia berjaya memecahkan rekod dengan catatan masa 56.30 saat itu seawal pusingan kelayakan, mengatasi rekod kebangsaan terdahulu 57.29 saat.

Pada pusingan akhir, Syahida unggul meraih emas menerusi catatan 58.50 saat.

Kejayaan tersebut cukup bermakna kerana Syahida sebenarnya tidak bermula dengan persiapan khusus untuk acara TK1 200m, sebaliknya K1 200m.

Jelasnya, acara K1 200m yang jadi fokus asalnya telah digugurkan, memaksanya menyesuaikan diri dengan acara baharu dan bekerja lebih keras dalam tempoh persiapan yang ada.

“Saya memang tidak menyangka akan dapat sesuatu yang besar pada SUKIPT kali ini. Bila acara asal digugurkan, saya cuma fikir bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan yang baharu dan buat persediaan sebaik mungkin,” katanya.

Kongsi Syahida, dia hanya datang ke SUKIPT dengan sasaran untuk memberikan yang terbaik dan cuba mendapatkan pingat emas untuk UPSI.

“Jujur saya langsung tidak datang dengan fikiran untuk pecahkan rekod kebangsaan atau memikirkan akan dipilih sebagai Olahragawati,” katanya.

Di sebalik kejayaan itu juga, tersimpan kisah seorang anak bongsu daripada enam beradik yang sejak kecil dididik untuk menghargai usaha, berdikari dan tidak mengambil mudah setiap peluang.

Malah, Syahida merupakan satu-satunya dalam keluarganya yang berpeluang menyambung pengajian sehingga ke peringkat ijazah.
Perkara itu membuatkan dia lebih menghargai peluang untuk belajar, selain mahu membuktikan bahawa kesempatan yang diberikan kepadanya mampu dimanfaatkan sebaik mungkin.

Menyorot titik tolak penglibatannya dalam sukan, minat terhadap sukan sebenarnya sudah berputik sejak kecil apabila Syahida aktif menyertai pertandingan olahraga dan bola jaring ketika di sekolah rendah.

Ketika itu, dia sekadar menikmati keseronokan bersukan tanpa pernah terfikir untuk menjadikan bidang berkenaan sebagai sesuatu yang serius.

Menurutnya, apabila memasuki sekolah menengah, penglibatan dalam pertandingan terus menjadi sebahagian daripada kehidupannya.

Pengalaman bersaing dengan peserta lain secara tidak langsung membina keyakinan, disiplin dan kematangan dalam dirinya.

“Saya memang sejak kecil sudah minat dengan sukan dan aktiviti fizikal. Saya suka bergerak dan kalau ada peluang untuk sertai aktiviti atau pertandingan di sekolah, saya memang akan cuba.

“Pada masa itu saya belum terfikir untuk serius dalam sukan. Saya cuma tahu saya suka bersukan dan seronok apabila dapat bertanding.

“Bila fikir semula, mungkin minat yang bermula sejak sekolah itulah yang menjadi asas kepada perjalanan saya sehingga hari ini,” katanya.

Syahida merupakan atlet berbakat besar yang mempamerkan kecemerlangan dalam sukan kayak.

Seperti diperkatakan, titik perubahan berlaku ketika Syahida berusia 13 tahun apabila beberapa rakan mengajaknya mencuba kayak.

Pada mulanya, dia hanya menganggapnya sebagai aktiviti suka-suka dan tidak pernah membayangkan akan terus berkecimpung dalam sukan itu bertahun-tahun lamanya.

Selepas mengetahui sebuah kelab kayak sedang mencari ahli baharu, dia mengambil peluang untuk menyertai latihan.

Sebagai orang baharu, Syahida hanya mengikut rentak atlet lain dan melakukan apa yang diarahkan oleh jurulatih.

“Pada awalnya, saya memang takut dengan air. Kawan-kawan ajak saya cuba bermain kayak sekadar suka-suka dan masa itu saya tidak terfikir pun yang saya akan serius dalam sukan ini.

“Tetapi lama-kelamaan kayak mula menjadi satu ‘passion’ untuk saya.

“Setiap kali datang latihan, saya rasa macam semua masalah boleh dilupakan seketika dan hanya fokus kepada latihan serta apa yang perlu saya buat atas kayak,” katanya.

Perubahan itu semakin ketara apabila jurulatih mula memberikan perhatian lebih kepadanya ketika latihan.

Syahida mula merasakan mungkin ada sesuatu dalam dirinya yang boleh dikembangkan dan akhirnya mengambil sukan kayak dengan lebih serius dengan pertandingan pertamanya ialah Regatta UPSI pada 2017.

Ketika itu, dia masih ‘hijau’ dan tidak meletakkan sasaran tinggi, sebaliknya hanya mahu menikmati pengalaman bertanding serta menguji apa yang dipelajari dalam latihan.

“Saya datang ke pertandingan pertama itu dengan perasaan biasa sahaja. Saya cuma fikir untuk bertanding seperti atlet lain dan buat apa yang sudah dipelajari semasa latihan.

“Tidak sangka pula saya berjaya membawa pulang pingat emas dan pingat perak. Selepas itu, saya mula terfikir mungkin saya boleh pergi lebih jauh dalam sukan ini kalau betul-betul serius dan rajin menjalani latihan,” katanya.

Sejak itu, keyakinannya berkembang sedikit demi sedikit dan kayak tidak lagi dianggap sekadar aktiviti. Ia menjadi sebahagian daripada rutin hidup yang memerlukan komitmen, disiplin dan pengorbanan besar.

Antara pengorbanan yang paling diingatinya ketika membuat persiapan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) sewaktu tingkatan lima.

“Ketika persiapan Sukma, masa saya bersama keluarga memang agak terhad. Saya tinggal di kelab kayak dan biasanya hanya dapat balik rumah pada hari cuti, iaitu Jumaat dan Sabtu.

“Masa dengan kawan-kawan sekolah pun banyak berkurang kerana selepas sekolah saya terus pergi latihan. Namun, semua itu banyak mengajar saya tentang disiplin dan pengorbanan. Kalau mahu sesuatu dalam hidup, memang ada perkara yang perlu kita korbankan untuk dapatkannya,” ujarnya.

Kini, rutin latihan Syahida pula lazimnya melibatkan dua sesi sehari iaitu pada waktu pagi dan petang dengan setiap sesi berlangsung sekitar dua hingga dua setengah jam bergantung jenis latihan dan persediaan pertandingan.

Latihan fizikal dan stamina dilakukan menerusi gimnasium atau kecergasan, manakala aspek teknik banyak diberi perhatian ketika latihan di atas air.

Baginya, kayak bukan sekadar soal kekuatan kerana teknik kayuhan dan penggunaan tenaga yang betul turut menentukan prestasi.

“Dalam kayak, teknik sangat penting sebab bukan hanya bergantung kepada kekuatan. Kita perlu tahu bagaimana menggunakan tenaga dengan betul, teknik kayuhan dan cara mengawal kayak ketika berada di atas air.

“Pada masa sama, mental juga penting. Ketika latihan semakin berat dan badan mula penat, saya perlu belajar kekal fokus. Semua aspek itu saling berkait untuk membantu saya beri prestasi terbaik,” katanya.

Kesungguhan tersebut mula menghasilkan pencapaian besar pada Sukma 2022 apabila Syahida meraih empat pingat emas, dua perak dan satu gangsa dalam acara sprint, selain mencipta empat rekod kebangsaan. Dua tahun kemudian, dia meneruskan momentum pada SUKIPT 2024 apabila memenangi emas K1 200m dan memecahkan rekod kebangsaan.

Lebih menarik, rekod yang dipecahkannya itu ialah rekod yang pernah diciptanya sendiri pada Sukma 2022 dalam acara sama.

“Setiap pencapaian mempunyai cerita dan cabaran masing-masing. Sukma 2022 sangat bermakna kerana saya dapat meraih beberapa pingat dan mencipta rekod kebangsaan.

“Bila di SUKIPT 2024 saya dapat memecahkan rekod yang saya sendiri cipta sebelum itu, ia membuatkan saya lebih yakin bahawa saya masih boleh memperbaiki diri dan prestasi,” katanya.

Namun, perjalanan seorang atlet tidak selalunya dipenuhi kemenangan.

Akui Syahida, dia juga pernah berdepan kekecewaan, kecederaan dan fasa hampir berputus asa tetapi memilih untuk menjadikan setiap kesukaran sebagai bahan untuk memperbaiki diri. Baginya, rasa kecewa lebih baik dihadapi ketika latihan supaya apabila tiba hari pertandingan, dirinya lebih bersedia dari segi mental dan emosi.

“Bila berdepan masalah, saya biasanya banyak buat self-talk dengan diri sendiri. Saya cuba faham kenapa perkara itu berlaku dan cari jawapan kepada apa yang boleh saya perbaiki.

“Saya belajar bahawa kecewa itu normal, tetapi kita tidak boleh terlalu lama berada dalam perasaan tersebut,” katanya.

Pendekatan itu turut digunakannya ketika menghadapi SUKIPT 2026 selepas acara K1 200m yang dipersiapkannya digugurkan. Tanpa terlalu memikirkan keputusan,

Syahida memilih untuk menerima perubahan itu dan menyesuaikan diri dengan TK1 200m hingga mencipta magis sebagai Olahragawati.

Bagi Syahida, pengumuman itu hadir sebagai kejutan besar kerana dia sendiri tidak pernah meletakkan sasaran untuk membawa pulang gelaran berkenaan.

“Saya sangat terkejut, teruja dan bangga apabila diumumkan sebagai Olahragawati SUKIPT 2026.

“Saya rasa anugerah ini bukan kejayaan saya seorang. Saya sangat bersyukur kerana ada ibu dan keluarga, jurulatih, kawan-kawan serta ramai orang yang sentiasa percaya dan menyokong saya sepanjang perjalanan ini,” katanya.

Di sebalik kejayaan tersebut, Syahida menyifatkan disiplin sebagai antara kekuatan utama yang membantunya berkembang sebagai atlet. Pencapaian tidak hanya bergantung bakat, sebaliknya menuntut komitmen yang konsisten dalam latihan dan kehidupan seharian.

Bagi dirinya sendiri, perjalanan itu masih panjang. Dia mahu terus bersaing selagi diberikan peluang dan kemampuan, sambil memastikan akademik tidak diketepikan.

“Saya sangat sayang dengan sukan kayak dan masih banyak yang saya ingin capai.

“Selagi saya masih diberikan peluang untuk bermain, saya akan cuba buat yang terbaik dan lihat sejauh mana saya boleh pergi.

“Dalam akademik pula, saya mahu terus mengekalkan Anugerah Dekan pada setiap semester. Saya mahu terus seimbangkan kedua-duanya kerana saya tidak mahu pencapaian dalam sukan menyebabkan saya mengabaikan pelajaran,” katanya yang bercita-cita menjadi guru.

Read Entire Article
Pertanian | | | |