MASOC taja jersi Raja Pecut LTdL26

1 hour ago 2

KUALA LUMPUR – Bagi memeriahkan lagi kempen dan promosi, Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Malaysia (MASOC) 2027 menjalinkan kerjasama dengan Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) sebagai penaja jersi Raja Pecut.

Kerjasama yang dibuat memberi peluang kepada Sekretariat MASOC 2027 menjadikan aksi jelajah itu sebagai platform mempromosikan Sukan SEA dan Para ASEAN 2027 yang berlangsung di Malaysia tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MASOC 2027, Datuk Abdul Rashid Yaakub berkata, pihaknya memerlukan platform promosi yang berkesan, sekali gus menjadikan LTdL26 sebagai medan terbaik.

“Keputusan kerjasama ini kami ambil berdasarkan keseluruhan pakej pulangan penajaan yang cukup lengkap, khusunya peluang untuk mempromosikan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN ke seluruh dunia menerusi penyiaran TV antarabangsa.

“Ini selari dengan misi kami untuk memastikan jiran-jiran Asia Tenggara diuar-uarkan tentang acara ini semasa menonton perlumbaan berbasikal yang merupakan antara terbesar di Asia,” katanya pada majlis pengumuman kerjasama MASOC 2026 bersama LTdL26 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pengurusan Acara dan Sukan MSN, Safrushahar Mohd. Yusoff dan Ketua Pengarah Operasi Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal.

Sementara itu, Safrushahar berkata, MSN selaku antara jawatankuasa penting yang perlu memastikan kejayaan penganjuran Sukan SEA dan Para ASEAN 2027 berterima kasih kepada MASOC atas kerjasama bersama LTdL26.

Menurut beliau, pihak MSN sudah bersetuju supaya promosi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 ditonjolkan menerusi penjenamaan untuk jersi Raja Pecut bagi saingan LTdL kali ini.

“Kami pasti MASOC sendiri akan melihat keberkesanan dan pulangan berganda menerusi kerjasama ini, terutamanya penyiaran serta pendedahan menerusi pelbagai saluran ke peringkat antarabangsa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |