Dah hujan pun KL masih hilang ‘ditelan’ jerebu

1 hour ago 1

PETALING JAYA – Hujan yang melanda sekitar Lembah Klang semalam nampaknya masih belum mampu ‘mencuci’ sepenuhnya udara apabila keadaan berjerebu terus menyelubungi ibu negara hari ini.

Keadaan itu dikongsikan seorang pengguna Threads @Adiazwari_ yang memuat naik beberapa gambar sekitar Sentul pada tengah hari tadi memperlihatkan pemandangan pusat bandar masih kabur.

Menerusi gambar tersebut, beberapa mercu tanda utama termasuk Menara Berkembar Petronas (KLCC), Menara Kuala Lumpur dan Exchange 106 di Tun Razak Exchange (TRX) didakwa langsung tidak kelihatan dari lokasi berkenaan.

“Update (kemas kini) Isnin pukul 12.26 tengah hari, hari ini aku rasa Malaysia masih jerebu teruk, ini bukan kabus.

“KLCC, KL Tower, TRX semua tak nampak langsung. Bacaan rendah tapi macam pelik aku rasa. Sekolah boleh cuti dan boleh kerja dari rumah tak? Kita jaga kita,” tulisnya.

Perkongsian itu mencetuskan kebimbangan pengguna media sosial yang mendakwa keadaan udara di sekitar Sentul masih kurang baik meskipun hujan lebat melanda seluruh Wilayah Kuala Lumpur petang semalam.

Seorang pengguna @Nrletika_s mendakwa, dia mengalami batuk ketika berada di Sentul sejak dua minggu lalu, namun simptom tersebut hilang ketika pulang ke Sungai Buloh sebelum kembali semula selepas berada di Sentul.

“Tahu, dua minggu saya duduk Sentul tak pergi mana-mana, batuk. Hujung minggu lalu balik Sungai Buloh, hilang batuk. Hari ini duduk Sentul, mula batuk balik. Ya, udara Sentul tak sihat,” katanya.

Sementara itu, penggu @Nabila_abdmalek turut mendakwa dia dan anaknya mengalami masalah pada bahagian mata ketika keadaan berjerebu, termasuk mata berair, panas dan bengkak.

Seorang lagi pengguna @Nadya109 pula berpendapat lapisan jerebu masih belum berlalu sepenuhnya walaupun keadaan langit Kuala Lumpur dilihat lebih jelas malam tadi.

“Terima kasih untuk kemas kini. Malam tadi langit KL jelas kan? Nampaknya lapisan jerebu masih belum sepenuhnya berlalu pergi,” katanya.

Turut senada, @Syazzwannn berkata, hujan yang turun juga seakan-akan tidak banyak mengubah keadaan apabila pandangan masih kelihatan kabur.

“Macam tak ada beza hujan macam mana pun,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |