MyKad bukan punca utama data bocor- JPN

1 hour ago 1

PUTRAJAYA- Kebocoran maklumat peribadi yang memaparkan butiran MyKad tidak semestinya berpunca daripada kelemahan kad pengenalan itu atau sistem teras Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sebaliknya perlu dikenal pasti berdasarkan sumber data, sistem terlibat dan rantaian pengurusan maklumat berkenaan.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, keselamatan MyKad, sistem JPN dan data yang telah dikongsi kepada pihak ketiga merupakan tiga perkara berbeza yang tidak boleh disamakan dalam menilai sesuatu insiden kebocoran data.

Menurut beliau, berdasarkan rekod, pemantauan dan penilaian keselamatan JPN, tiada insiden kebocoran data peribadi yang dikenal pasti berpunca daripada pencerobohan terhadap sistem teras jabatan berkenaan.

“Apabila maklumat pengenalan diri telah diberikan kepada pihak lain, pengurusan maklumat berkenaan, termasuk aspek pengumpulan, pemprosesan, penyimpanan, penggunaan, perlindungan dan pelupusannya adalah tertakluk kepada sistem serta tadbir urus pihak yang menerima dan memproses maklumat tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini tadi.

Beliau berkata demikian sebagai memberi reaksi kepada artikel diterbitkan Kosmo! mengenai laporan data mudah bocor menggunakan MyKad yang didedahkanPersatuan Pengguna Siber Malaysia.

Menerusi laporan itu, pakar mencadangkan kerajaan untuk memanfaatkan penggunaan MyDigital ID berbanding MyKad atau pasport bagi pengesahan usia untuk pendaftaran dan pemilikan akaun media sosial.

Mengulas lanjut, Badrul Hisham berkata, penemuan maklumat pengenalan diri seseorang dalam sesuatu insiden kebocoran data tidak menunjukkan bahawa MyKad tidak selamat atau sistem JPN telah diceroboh.

Katanya, penentuan punca sesuatu insiden kebocoran data hendaklah dilaksanakan berdasarkan bukti, analisis teknikal dan siasatan terhadap sistem serta rantaian pengurusan data yang terlibat.

“MyKad merupakan dokumen pengenalan diri rasmi rakyat Malaysia yang aspek keselamatannya sentiasa menjadi keutamaan dalam pembangunan, pengeluaran dan penambahbaikan dokumen pengenalan diri negara.

“Evolusi ini akan diteruskan menerusi pengenalan MyKad Generasi Baharu dengan peningkatan ketara kepada 53 ciri keselamatan berbanding 23 ciri pada MyKad sedia ada,” katanya.

Menurutnya, penambahbaikan tersebut bukan bermaksud MyKad sedia ada tidak selamat, sebaliknya mencerminkan prinsip JPN bahawa keselamatan identiti perlu sentiasa bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dan perubahan bentuk ancaman.

“Apabila salinan atau imej MyKad diberikan kepada pihak lain, satu salinan maklumat peribadi kita turut berada dalam simpanan atau sistem pihak tersebut.

“Bermula dari saat itu, keselamatan maklumat berkenaan turut bergantung kepada bagaimana ia diterima, disimpan, digunakan dan dilindungi oleh organisasi berkenaan,” katanya.

Jelasnya, tiga perkara perlu dibezakan dengan jelas dalam memahami risiko kebocoran data ialah MyKad sebagai dokumen fizikal dan cip pintar, salinan atau imej MyKad yang dikongsi kepada pihak lain serta sistem dan pangkalan data JPN.

“Kebocoran atau penyalahgunaan salah satu daripadanya tidak secara automatik bermaksud dua komponen yang lain turut terjejas.

“Punca sebenar sesuatu insiden perlu ditentukan berdasarkan sumber data, sistem yang terlibat dan bagaimana maklumat tersebut diperoleh,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |