PERKEMBANGAN kecerdasan buatan (AI) dan teknologi automasi telah memberi wajah baharu kepada industri pembinaan Malaysia. Penggunaan teknologi itu dapat membantu memperkemaskan proses perancangan, pemantauan dan pelaksanaan projek.
Selain AI, teknologi seperti Building Information Modelling (BIM), dron, Internet of Things (IoT) dan analitik data turut mula digunakan dalam industri berkenaan.
Dalam pengurusan projek, AI boleh dimanfaatkan untuk menganalisis data kemajuan kerja, mengenal pasti risiko kelewatan serta membantu mengoptimumkan penggunaan sumber.
Menurut pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Prof. Madya Ts. Dr. Muhammad Fikri Hasmori, apabila AI digabungkan dengan BIM, pasukan projek berupaya mengenal pasti percanggahan atau konflik reka bentuk, sebelum kerja fizikal dimulakan.
Pendekatan itu berpotensi mengurangkan keperluan kerja pembetulan, pembaziran bahan, kelewatan projek serta pertikaian yang mungkin timbul sepanjang proses pembinaan.
“Syarikat pemaju, Gamuda telah menggabungkan BIM, automasi robotik dan teknologi Autonomous Tunnel Boring Machine (A-TBM) dalam kejuruteraannya. Syarikat itu turut menggunakan BIM-Augmented Reality (BIMAR) untuk simulasi, pengesanan percanggahan reka bentuk dan penyelarasan projek.
“Berdasarkan kronologi korporat Gamuda, syarikat tersebut melancarkan AI Academy pada 2024 dan menubuhkan Gamuda Technologies pada 2025 bagi memperluas penggunaan data, AI serta teknologi digital.
“Pada peringkat dasar, CIDB Malaysia menyenaraikan 12 teknologi utama di bawah Construction 4.0.
“Ini termasuk BIM, pembinaan autonomi, percetakan tiga dimensi (3D), AI, IoT, analitik ramalan, realiti terimbuh dan bahan binaan termaju. Ini menunjukkan bahawa transformasi digital merupakan sebahagian daripada hala tuju rasmi pembangunan industri,” katanya kepada K-Tekno.
Keupayaan menganalisis sejumlah besar data juga membolehkan pihak pengurusan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang lebih tersusun dan menyeluruh.
Muhammad FikriPada masa sama, automasi semakin memainkan peranan dalam kerja yang berulang, berbahaya atau memerlukan tahap ketepatan tinggi.
Antara aplikasinya termasuk mesin pengorek terowong autonomi, pengeluaran komponen Industrialised Building System (IBS) secara automatik, pemantauan tapak menggunakan dron dan imbasan laser tiga dimensi.
“Namun, tahap penggunaannya masih tidak seragam kerana syarikat pembinaan dan projek infrastruktur berskala besar bergerak lebih pantas berbanding kebanyakan kontraktor kecil dan sederhana.
“Teknologi AI juga dapat memudahkan proses pengurusan projek, sekali gus berpotensi mengurangkan kerja pembetulan, pembaziran bahan, kelewatan dan pertikaian,” katanya.
Meskipun kemajuan teknologi sering dikaitkan dengan pengurangan kebergantungan terhadap tenaga manusia, namun AI dan automasi tidak semestinya menggantikan pekerja sepenuhnya dalam masa terdekat.
Sebaliknya, perubahan teknologi turut mewujudkan permintaan terhadap kemahiran baharu seperti BIM modeller, jurutera automasi, operator mesin berkemahiran tinggi, pakar data, pengurus digital serta pegawai keselamatan yang mampu menggunakan sistem pemantauan pintar.
“Beberapa cabaran perlu ditangani bagi memastikan penggunaan AI dapat diperluas.
“Antaranya, kos permulaan yang tinggi, kesukaran menentukan pulangan pelaburan khususnya bagi projek kecil, kekurangan tenaga kerja yang menguasai kemahiran pembinaan dan teknologi digital secara serentak serta isu keserasian sistem, kualiti data serta keselamatan siber.
“Kontraktor kecil dan sederhana juga mungkin berdepan kesukaran untuk melabur dalam teknologi serta latihan,” katanya.
Disebabkan itu, adaptasi AI dalam industri pembinaan perlu disokong dengan pembangunan kemahiran, perancangan pelaburan dan ekosistem digital yang sesuai.
Secara keseluruhannya, AI dan automasi sudah mula mempengaruhi cara projek pembinaan dirancang, diselaraskan, dipantau dan dilaksanakan di Malaysia.
Bagaimanapun, negara masih berdepan dengan beberapa kekangan untuk digunakan secara meluas.

4 hours ago
3






































![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)








