KUALA LUMPUR – Pekerja gig yang tidak didaftarkan atau tidak menerima caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) diminta tampil membuat aduan bagi memastikan hak mereka terhadap perlindungan keselamatan sosial terjamin.
Timbalan Ketua Eksekutif Operasi Perkeso, Azirruan Arifin berkata, pekerja gig yang mendapati diri mereka tidak dilindungi atau tidak didaftarkan oleh majikan, boleh membuat aduan di mana-mana pejabat Perkeso berdekatan atau melalui e-mel.
“Pihak Perkeso akan mengambil tindakan dengan membuat lawatan ke premis berkenaan serta memastikan pekerja didaftarkan dan dicarum dengan sewajarnya.
“Maklumat pengadu tidak akan dikongsi dan kami pastikan mereka dilindungi daripada sebarang tindakan balas atau dendam daripada majikan,” katanya selepas menyertai Ops Kesan Perkeso 2.0 di ibu negara, hari ini.
Beliau berkata, perlindungan sama turut diberikan kepada pekerja asing yang diwajibkan didaftarkan dan dicarum oleh majikan menerusi caruman Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja secara mandatori.
“Perkeso bekerjasama rapat dengan kedutaan serta agensi berkaitan bagi memastikan pekerja asing turut mendapat caruman sewajarnya dan identiti mereka yang membuat aduan juga akan dilindungi,” ujarnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, Ops Kesan Perkeso 2.0 Peringkat Kebangsaan 2026 menyasarkan majikan, penyedia platform dan individu bekerja sendiri bagi memperkukuh pematuhan undang-undang perlindungan keselamatan sosial.
Ia meliputi sektor informal merangkumi penyedia platform kepada pekerja gig, penjaja, peniaga kecil, yang wajib mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Akta 789.
Selaras Akta 872 pula, penyedia platform wajib memastikan pendaftaran dan caruman dibuat dan setakat ini, seramai 1.17 juta pekerja gig telah berdaftar dengan Perkeso dengan penguatkuasaan bermula 1 Oktober ini. – KOSMO! ONLINE

1 hour ago
1






































![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)








