Sultan Perak berkenan rasmi Hospital Parit Buntar

2 hours ago 1

PARIT BUNTAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan majlis perasmian Hospital Parit Buntar, di sini hari ini.

Baginda kemudian berkenan melafazkan lafaz perasmian dan menandatangani plak sebagai simbolik perasmian sebelum melawat pameran, disusuli majlis santapan dan melawat bangunan hospital.

Hospital yang dibangunkan di kawasan seluas 5.59 hektar dengan kos sekitar RM173.3 juta itu mempunyai kapasiti 76 katil merangkumi enam blok bangunan setinggi tiga tingkat.

Pembangunan hospital berkenaan bermula pada Januari 2018 dan siap dibina pada 23 Julai 2025 sebelum mula beroperasi secara rasmi pada 3 September 2025.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam sembah ucapannya berkata,
pembangunan Hospital Parit Buntar meneruskan kesinambungan usaha kerajaan memperkukuh rangkaian kemudahan kesihatan di negeri ini, khususnya bagi memenuhi keperluan penduduk di daerah Kerian.

Katanya, daerah berkenaan yang dihuni hampir 170,000 penduduk mempunyai kedudukan geografi strategik kerana bersempadan secara langsung dengan Pulau Pinang dan Kedah.

“Hospital Parit Buntar yang serba baharu ini tampil sebagai sebuah fasiliti kesihatan rujukan penting di wilayah utara bagi melengkapi rangkaian kesihatan negeri yang sedia ada,” katanya.

Dzulkefly berkata, Perak kini mempunyai sebuah institusi psikiatri, 14 hospital, 89 Klinik Kesihatan, 78 Klinik Pergigian, 10 Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, 188 Klinik Desa serta 16 Klinik Komuniti yang menyediakan perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau berkata, Hospital Parit Buntar dilengkapi enam blok bangunan merangkumi Wad Lelaki, Wad Perempuan, Wad Kanak-Kanak, Wad Bersalin dan Unit Kebergantungan Tinggi (HDU).

Katanya, Dewan Bersalin hospital itu turut dilengkapi enam bilik bersalin dan sebuah ruang pemerhatian dengan tiga katil sebagai nilai tambah kepada perkhidmatan yang disediakan.

“Keupayaan klinikal hospital ini diperkasakan lagi dengan penyediaan Respiratory and Hemodynamic Unit (RHU), Pregnancy Assessment Center (PAC) dan dua dewan bedah moden.

“Salah sebuah dewan bedah berkenaan telah mula beroperasi sejak 3 April 2026,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |