KOTA BHARU – Seorang lelaki etnik Rohingya dipercayai menerima arahan tuhan sejak sebulan lalu sebelum bertindak membunuh rakannya dengan sebilah parang di sebuah rumah kongsi berhampiran tanah perkuburan Islam dekat Taman Desa Kujid, Kampung Pok Boh di sini pada Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, mangsa yang berusia 18 tahun ditemukan meninggal dunia di kawasan berkenaan selepas mengalami kecederaan luka hiris dan tetakan pada leher.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, polis menangkap seorang lelaki etnik Rohingya yang merupakan suspek utama dalam kes tersebut di sebuah rumah di Pasir Mas dekat sini semalam.
Katanya, siasatan awal mendapati, lelaki yang berusia 31 tahun itu mendakwa dia mendapat arahan tuhan sebelum bertindak menetak mangsa yang juga merupakan rakan sekerjanya di rumah kongsi tersebut.
“Suspek mengatakan dia mendapat arahan tuhan untuk membunuh mangsa. Setakat ini, kita nampak dia seperti berhalusinasi, namun segala masalah yang dihadapi mangsa akan disahkan oleh pakar atau doktor.
“Siasatan awal mendapati, suspek menetak remaja itu ketika sedang berada di rumah kongsi tersebut. Tiada sebarang pergelutan atau pergaduhan berlaku antara suspek dan mangsa,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff memberitahu, suspek kemudian bertindak melarikan diri ke Pasir Mas selepas membunuh mangsa.
Katanya, suspek dipercayai sudah mendapat arahan tersebut kira-kira sebulan lalu dan menunggu sehingga Jumaat lepas untuk membunuh mangsa.
“Ujian saringan air kencing turut mendapati suspek negatif dadah. Selain itu, kita turut meragui kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) milik suspek yang dipercayai kad palsu.
“Ini kerana, kad UNHCR miliknya mempunyai tarikh lahir sama cuma berbeza tahun sahaja dengan dua rakannya yang ditahan untuk membantu siasatan pada Sabtu lalu,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang remaja etnik Rohingya maut selepas dipercayai dibunuh dengan objek tajam di sebuah rumah kongsi berhampiran tanah perkuburan Islam dekat Taman Desa Kujid, Kampung Pok Boh di sini pada Jumaat lalu.
Susulan daripada kejadian itu, seorang lelaki bersama tiga warga asing termasuk seorang wanita direman tujuh hari bagi membantu siasa-tan berhubung kes tersebut.
Perintah reman terhadap kesemua suspek berusia dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun yang bermula Sabtu lalu itu dikeluarkan oleh Majistret Fakhrul Razzi Abd. Hamid. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
3






































![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)








