‘Jangan campur urusan takhta Negeri Sembilan’

9 hours ago 7

SEREMBAN – Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin mengecam sebarang usaha pihak tertentu yang didakwa cuba mencabuli prerogatif dan hak perlembagaan mereka.

Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin dalam kenyataan bersama turut menggesa Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara supaya tidak mencampuri urusan pemerintahan Negeri Sembilan.

“Sebarang tindakan campur tangan sedemikian jika diteruskan didakwa boleh melanggar prinsip keluhuran Perlembagaan selain menyentuh Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan berhubung jaminan terhadap hak Raja sesuatu negeri,” katanya dalam kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menegaskan kuasa memilih dan menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan merupakan prerogatif mereka yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Kata kenyataan itu, dakwaan bahawa penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dan barisan Exco negeri adalah satu fitnah yang dirancang demi kepentingan pihak tertentu.

Sebaliknya, menurut kenyataan itu, Menteri Besar dan barisan Exco tidak mempunyai kuasa tersebut, sebaliknya hanya melaksanakan tugas perlembagaan bagi mematuhi ketetapan Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 UUTKNS 1959.

“Kuasa memilih dan menurunkan Yang di-Pertuan Besar merupakan adat prerogatif kami yang turut termaktub di dalam Perkara 7, Perkara 10 dan Perkara 11 UUTKNS 1959,” katanya.

Pembesar adat itu turut mendakwa, tindakan mengarahkan pengumuman pemberhentian barisan Exco kerajaan negeri oleh Tuanku Muhriz adalah salah, tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai kuat kuasa.

Malah, kenyataan itu turut mendakwa tindakan tersebut sebagai sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah moden Negeri Sembilan selain mendakwa ia merupakan cubaan menghalang Raja Pemerintah menjalankan pemerintahan.- KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |