KUALA LUMPUR – Diajukan bayaran tidak setimpal menjadi antara punca pelakon Adam Shahz memilih untuk menolak tawaran lakonan yang tidak masuk akal sejak lebih setahun lalu.
Adam atau nama sebenarnya, Nor Shah Azli Abdol Ghani, 45, berkata, kadar ditawarkan sebilangan syarikat produksi tidak menepati kewajaran sehingga membuatkannya terpaksa mengambil keputusan memperlahankan rentak.
“Memang tawaran itu ada tetapi tidak menepati ekonomi semasa. Contohnya dulu kita boleh dapat RM2,000 hingga RM3,000 sehari tetapi sekarang kebanyakan orang tawarkan kita antara RM300 hingga RM400.
“Selepas itu mereka pandai, bagitahu drama ini ada 30 episod dan bila kita teruja nak buat, mereka cakap tiada bajet. Sudahnya, babak kita katalah sepatutnya sebulan, dimampatkan dalam beberapa hari sahaja.
“Kalau orang lain saya tak tahu, tapi saya tolak bersebab. Terlalu rendah. Kita ada bil nak dibayar, komitmen lain. Kena rasional kerana kadar sebegitu sangat tidak wajar,” katanya ditemui pada sidang media telefilem Miselia di RTM Angkasapuri, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Adam berkata, dia tidak hanya bergantung kepada bidang lakonan untuk meneruskan kelangsungan hidup, sebaliknya mengambil inisiatif dengan menjadi tenaga pengajar.
“Buat masa ini, alhamdulillah, walaupun saya tidak berlakon tetapi saya mengajar untuk bengkel anjuran Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia), dapatlah lunaskan komitmen bulanan.
“Selain klinik lakonan, saya juga berkongsi pengetahuan mengenai kesihatan mental untuk polis bantuan bersama seorang rakan. Itulah kerja serta rutin saya sejak kurang berlakon bermula tahun lalu.
“Sebab itu saya masih boleh ketawa lagi dalam situasi ekonomi begini. Kalau orang lain mungkin sudah menangis, tetapi alhamdulillah saya masih bertahan walaupun ada masa perit juga,” ujarnya.
Berkenaan drama Miselia terbitan Unit Drama TV RTM, Pelakon Lelaki Harapan di Festival Filem Malaysia (FFM28) itu teruja satu layar dengan ramai bintang hebat termasuk Ellie Suriaty, Azhar Sulaiman serta Niezam Zaidi.
“Kisah dibentangkan ini mempunyai kaitan dengan isu dilalui sebilangan anggota masyarakat ketika dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Isu mental, tekanan emosi antara inti pati naskhah arahan Ekien Zainal yang mempunyai pengajaran tersendiri,” ujarnya mengenai drama yang menemui penonton di TV1, 10 Oktober ini. – KOSMO! ONLINE

10 hours ago
6



![[VIDEO] Jepun panas… Dara, Amoi, Kelat bersungguh cari tempat teduh](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-22-at-6.45.58-PM.jpeg)


































![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)







