Bahasa Inggeris kekal penting pacu daya saing ekonomi era AI

8 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Penguasaan Bahasa Inggeris kekal menjadi antara kemahiran penting dalam memastikan tenaga kerja Malaysia mampu bersaing dalam ekonomi global, khususnya ketika kecerdasan buatan (AI) semakin mengubah landskap pekerjaan.

Pengarah Eksekutif Produk Institusi, Asia Tenggara dan Asia Selatan, Educational Testing Service (ETS), Pushkar Saran berkata, kemahiran teknikal dan AI semata-mata tidak mencukupi sekiranya kurang penguasaan dan komunikasi dalam Bahasa Inggeris.

Menurut beliau, Malaysia mempunyai ramai individu yang memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran teknikal, namun sebahagian daripada mereka masih berdepan kesukaran menyampaikan pengetahuan tersebut dalam Bahasa Inggeris dengan berkesan.

“Untuk memasuki aliran perdana dan bidang profesional, mempunyai kemahiran AI yang baik sahaja tidak mencukupi jika kemahiran Bahasa Inggeris lemah.

“Ini kerana komunikasi dua hala yang efisien dan pantas masih diperlukan, terutama apabila melibatkan maklumat, penyelesaian masalah dan membina kepercayaan,” katanya ketika ditemui selepas persidangan Talent Pulse 2026 – Malaysia’s Augmented Workforce Conference di sini hari ini.

Pushkar menjelaskan, walaupun AI kini mampu membantu manusia dalam pelbagai tugasan termasuk menterjemah, menghasilkan kandungan dan menyelesaikan masalah, kemahiran manusia  masih memainkan peranan penting.

Katanya, aspek seperti pertimbangan manusia, komunikasi, penyelesaian masalah dan keupayaan memahami konteks sukar digantikan sepenuhnya oleh teknologi.

“Informasi dan kepercayaan sangat penting. Kita tidak boleh semata-mata bergantung kepada AI untuk semua perkara.

“Dalam keadaan tertentu, AI mungkin boleh membantu, tetapi apabila melibatkan komunikasi dan interaksi dalam dunia pekerjaan sebenar, kemahiran manusia masih sangat diperlukan,” katanya.

Menurut Pushkar, perkembangan AI turut menyebabkan perubahan terhadap jenis pekerjaan yang diperlukan pada masa depan, dengan industri komunikasi, solusi, perkhidmatan serta hospitaliti dijangka terus mempunyai nilai penting.

Beliau berkata, perkara itu bukan hanya cabaran kepada Malaysia, sebaliknya menjadi isu pendidikan dan pembangunan bakat di seluruh dunia.

“Pendidikan perlu berubah untuk menyediakan bakat yang sesuai dengan keperluan masa depan.

“Kita juga perlu memastikan kreativiti tidak terhakis hanya kerana terlalu bergantung kepada peraturan dan prosedur. Jika semuanya perlu mengikut SOP, ruang untuk kreativiti pelajar boleh menjadi semakin kecil,” katanya.

Dalam pada itu, Pushkar berkata, Bahasa Inggeris terus mempunyai kepentingan ekonomi kerana kekal sebagai bahasa komunikasi global, termasuk dalam dunia teknologi dan AI.

Beliau berkata, berdasarkan penyelidikan ETS yang melibatkan kira-kira 70 peratus negara di dunia, terdapat peningkatan kesedaran terhadap kepentingan Bahasa Inggeris dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Tambah beliau, Bahasa Inggeris juga semakin digunakan sebagai bahasa kedua di banyak negara, termasuk Vietnam, yang dilihat sebagai antara faktor penting dalam membuka lebih banyak peluang kepada tenaga kerja untuk berhubung dengan pasaran global.

“Bahasa Inggeris bukan hanya mengenai bahasa. Ia berkait dengan peluang ekonomi, mobiliti tenaga kerja dan keupayaan sesebuah negara untuk berhubung dengan dunia,” katanya.

Menurut Pushkar, Bahasa Inggeris juga masih menjadi bahasa utama dalam banyak sistem dan data latihan AI ketika ini.

Justeru, beliau berkata, keupayaan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris menjadi semakin relevan apabila manusia berinteraksi dengan teknologi, khususnya dalam mendapatkan maklumat dan menggunakan pelbagai aplikasi AI.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sinergia Asia, Nurizan Hussin berkata, penguasaan Bahasa Inggeris mempunyai kaitan rapat dengan ekonomi kerana komunikasi antara negara dan industri global amat penting bagi memastikan maklumat dapat disampaikan dengan tepat.

Menurut beliau, keupayaan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris juga penting kepada barisan hadapan industri kerana golongan itu menjadi antara individu pertama yang berinteraksi dengan pelancong, pelanggan dan rakan perniagaan antarabangsa.

“Barisan hadapan merupakan pihak yang memberikan gambaran pertama mengenai Malaysia. Sebab itu penguasaan Bahasa Inggeris amat penting, bukan sahaja untuk komunikasi tetapi juga dari sudut pengalaman dan keyakinan pelanggan,” katanya.

Nurizan berkata, terdapat persepsi bahawa negara seperti Jepun dan China mampu mencapai kemajuan ekonomi tanpa menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak bermakna Bahasa Inggeris tidak penting dalam ekonomi negara berkenaan.

“Lebih dua juta rakyat Jepun mengambil ujian Bahasa Inggeris setiap tahun dan perkara yang sama turut berlaku di Korea serta China.

“Dalam sesetengah syarikat di Jepun, penguasaan Bahasa Inggeris turut menjadi antara keperluan bagi pekerja yang mahu meningkatkan kerjaya,” katanya.

Menurut beliau, perkara itu menunjukkan penguasaan bahasa boleh bergerak seiring dengan pembangunan ekonomi sesebuah negara, terutama apabila syarikat tempatan semakin terlibat dalam pasaran antarabangsa.

Justeru, Nurizan berkata, usaha meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris dalam kalangan tenaga kerja perlu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan bakat dan daya saing ekonomi, bukannya sekadar penguasaan akademik.

“Apabila kita boleh menyampaikan maklumat dengan tepat dan berkomunikasi dengan yakin, ia membuka lebih banyak ruang untuk kita berhubung dengan industri dan pasaran global,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |