FAM nafi gagal bentang laporan audit

2 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tampil menafikan badan induk itu gagal membentangkan laporan audit kewangan sejak 2016.

Sebagai sebuah organisasi yang berintegriti, FAM ingin memperbetulkan persepsi terbabit dan menegaskan bahawa mereka sentiasa mematuhi statut tanpa gagal dan mengharungi prosedur kelulusan ketat.

Dalam satu kenyataan, FAM menjelaskan badan induk itu sentiasa membentangkan Laporan Kewangan yang diaudit dalam setiap Kongres Tahunan.

“Ini termasuk yang terbaharu iaitu Laporan Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2025 yang sudah dibentangkan pada Kongres Luar Biasa FAM Pertama 2026, Khamis lalu selaras dengan peruntukan Statut FAM.

“Setiap laporan kewangan tahunan wajib melalui proses semakan dan kelulusan di peringkat Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan FAM serta Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) FAM sebelum dibawa ke Kongres Tahunan untuk kelulusan muktamad,” kata FAM.

Malah, FAM bukan sahaja diaudit juruaudit bertauliah tempatan, kewangan FAM turut diaudit secara tahunan oleh juruaudit Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Ini adalah syarat wajib memandangkan FAM menerima peruntukan dana daripada kedua-dua badan induk dunia dan Asia terbabit.

“Sejurus mendapat kelulusan kongres, laporan kewangan terbabit akan dihantar secara rasmi kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) melalui sistem MyKBS bagi mendapatkan kelulusan,” kata FAM.

Dalam perkembangan sama, FAM turut menjelaskan penjelasan mengenai pembentangan bajet serta pengakuan kekhilafan seperti yang dimaklumkan bekas Presiden, Tan Sri Hamidin Mohd Amin pada sidang media selepas Kongres Luar Biasa FAM, semalam.

“Bagi tempoh 2020 hingga 2022, susulan ketiadaan peruntukan dalam Statut FAM pada tempoh itu bajet tahunan tidak dibentangkan dalam kongres.

“Walaubagaimanapun, bajet berkenaan tetap dibentang, disemak, dan disahkan secara telus di peringkat Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan serta Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) FAM untuk kelulusan.

“Bagi tempoh 2023 hingga 2025 pula, selaras dengan cadangan FIFA agar bajet tahunan dibentangkan dalam kongres, FAM meminda statutnya pada tahun 2023 bagi menambah baik tadbir urus kewangan.

“Bagaimanapun, FAM mengakui terdapat kekhilafan dalam pelaksanaan pembentangan bajet tahunan berkenaan bagi tahun 2023, 2024 dan 2025.

“FAM memandang serius perkara ini dan komited untuk memastikan proses tadbir urus pembentangan bajet kembali teratur mengikut garis panduan yang ditetapkan,” kata FAM.

Komitmen FAM dalam mempertahankan tahap ketelusan, akauntabiliti, dan tadbir urus yang tinggi terbukti menerusi beberapa pencapaian yang dianugerahkan kepada badan induk itu.

Antaranya menerusi Penarafan 5 Bintang PJS yang menyaksikan mereka dianugerahkan penarafan lima bintang oleh PJS selama lima tahun berturut-turut (2018 hingga 2022).

Selain itu, FAM turut mendapat pengiktirafan tertinggi di rantau Asia apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Dream Asia AFC 2019 kategori Inspirasi (Gangsa) serta diangkat sebagai antara tiga persatuan bola sepak terbaik di rantau Asia bagi kategori Pembangunan Akar Umbi pada Anugerah AFC ke-29 di Riyadh, tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |