PETALING JAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti pelancongan tidak berlesen yang dikenal pasti menjejaskan ekosistem industri.
Ini kerana kata Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing, perbuatan itu bukan sahaja merugikan pemain industri, malah ia turut menjejaskan hasil kepada negara.
Jelas beliau, aktiviti tidak berlesen termasuk penginapan jangka pendek, pengendali pelancongan haram serta amalan tidak patuh peraturan antara perkara paling kerap dibangkitkan oleh pemain industri dalam sesi libat urus bersama kementerian.
“Penguatkuasaan mesti memberi tumpuan kepada aktiviti tidak berlesen dan amalan yang menjejaskan industri, bukan menghukum pemain sah yang telah mematuhi undang-undang dan menanggung pelbagai kos pematuhan.
“Kementerian juga sedang dan akan terus memperkukuh penguatkuasaan secara lebih adil dan seimbang, seiring usaha mempercepatkan pindaan akta serta penambahbaikan dasar bagi memastikan landskap pelancongan negara lebih tersusun dan mampan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, King Sing berkata, isu lain yang dibangkitkan oleh pemain industri juga akan diambil serius dan ditangani secara berperingkat melalui libat urus berterusan bersama pihak berkaitan.
Antaranya termasuk keperluan dasar pelancongan yang lebih jelas, usaha mengimbangi pasaran pelancongan agar tidak terlalu bergantung kepada satu atau dua negara sumber, serta keperluan promosi produk pelancongan baharu yang lebih agresif dan bersasar.
“Isu berkaitan pengangkutan pelancongan, kenderaan persiaran, pemandu dan pemandu pelancong turut dibangkitkan, termasuk kesan penguatkuasaan yang tidak selaras serta persaingan tidak sihat daripada platform digital,”katanya.
Tambah beliau, kebajikan pemain industri yang terjejas akibat ketidakseimbangan tersebut juga perlu diberi perhatian bagi memastikan kelangsungan perniagaan dan kualiti perkhidmatan kepada pelancong.-KOSMO! ONLINE

3 hours ago
2

















































