‘Sakit macam kena pukul, produksi tak bagi ulas lanjut’

22 hours ago 7

KEMALANGAN di lokasi penggambaran bukan asing dalam kalangan penggiat seni, ada yang dikongsi secara terbuka dan ada juga dikunci rapat daripada pengetahuan umum.

Baru-baru ini, berulang lagi insiden tidak diingini di set penggambaran sebuah filem di Kota Tinggi, Johor sehingga mendatangkan kecederaan terhadap beberapa pelakon termasuk Datuk Remy Ishak dan Amir Nafis.

Lebih mengundang tanda tanya ramai, insiden tersebut mengakibatkan tulang rusuk Remy retak dan perlu menjalani rawatan fisioterapi.

Menurut Amir atau Amir Nafis Ma’arof, 33, dia memilih untuk mengunci mulut dan kenyataan rasmi mengenai insiden tersebut akan dikongsi pihak produksi dalam masa terdekat.

“Saya tak boleh kongsi banyak, biar pihak produksi menjelaskan perkara sebenar nanti. Mereka meminta saya tidak mengulas lanjut kerana melibatkan banyak pihak. Jadi buat masa ini saya tidak boleh berkongsi apa-apa,” katanya ketika ditemui pada sidang media Puasa Tetap Puasa & Raya Tetap Raya RTM 2026, baru-baru ini.

Trauma

Dalam pada itu, Amir mengakui kecederaan yang dialaminya paling teruk sepanjang bergelar pelakon aksi.

“Walaupun tidak retak tulang seperti dialami Remy, impak kemalangan itu buat satu badan sakit seperti kena pukul.

“Bukan saya cedera paling teruk, tetapi memang berlaku insiden serius ketika penggambaran. Saya alami luka dan rasa sakit di bahagian leher, pipi serta kedua-dua kaki,” ujarnya.

Walaupun semakin pulih dan sudah kembali ke set selepas berehat selama dua hari, pelakon Sheriff itu mengakui masih dihantui rasa trauma.

“Tipulah kalau saya kata 100 peratus okey. Namun, tidaklah sampai takut untuk terus melakonkan babak aksi.

“Cuma apabila sambung penggambaran, ada rasa gementar sedikit dan berpeluh tetapi saya kuatkan semangat untuk teruskan.

“Sebelum ini saya pernah patah jari, terseliuh dan terjatuh. Namun, insiden kali ini merupakan kecederaan skala paling besar pernah saya alami,” katanya lagi.

Ditanya mengenai respons isterinya mengenai insiden tersebut, Amir berkata semuanya dalam keadaan terkawal dan tenang.

“Orang rumah relaks saja, dia tahu saya kuat dan akan okey. Cuma mental dan emosi saya saja goyah selepas itu, tidur pun asyik terbangun dan terbayang insiden tersebut.

“Pengajarannya memang kena lebih berhati-hati. Apa-apa pun, kemalangan memang benda yang kita tak boleh jangka dan perlu reda dengan ketentuan Allah SWT,” kongsinya.

Sementara itu, berkongsi mengenai drama terbaharu lakonannya berjudul Anak Pak Ustaz yang akan ditayangkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM), Amir berkata dia teruja apabila diberi peluang memegang watak utama dalam naskhah arahan Liza Ismail itu.

“Ini bukan kali pertama saya berlakon dalam drama RTM. Apa yang menarik minat saya untuk menerima tawaran drama ini adalah kerana penerbitnya, Nabil Mahir memilih saya sebagai pelakon utama.

“Apabila ditawarkan, saya terus cakap okey. Saya sangat berbesar hati apabila Nabil percaya dengan bakat dan kemampuan saya untuk bawa watak ini,” ujar bintang filem Blood Brothers: Bara Naga itu.

Selain Amir, drama yang akan bersiaran pada Ramadan itu turut dibintangi Ayda Jebat dan Didie Alias.

Read Entire Article
Pertanian | | | |