PETALING JAYA – Seorang pengusaha inap desa (homestay) di Melaka tidak menyangka sebuah keluarga yang baru sahaja menginap di premisnya menjadi korban tragedi kemalangan maut di kilometer 27 Jalan Renggam – Simpang Renggam berhampiran Penjara Simpang Renggam, Isnin lalu.
Menerusi perkongsian di Facebook, pengguna dikenali sebagai Sufi Saleh meluahkan rasa sedih selepas mengetahui empat sekeluarga itu maut dalam nahas lima kenderaan tersebut.
Menurutnya, keluarga tersebut merupakan pelanggan yang kali terakhir menginap di inap desa miliknya di Telok Mas, Melaka sebelum meneruskan perjalanan pulang.
“Kasihan keluarga arwah, baru je kehilangan bapa, kemudian abang pula dan keluarga abang turut pergi.
“Terakhir mereka menginap di inap desa saya di Melaka. Saya baru bertemu mereka semalam dan menyerahkan tuala-tuala baharu. Semoga arwah-arwah ditempatkan dalam kalangan para solihin. Amin ya Rabbal Alamin,” katanya.
Sufi berkata, dia menerima khabar duka itu daripada saudara mangsa yang memaklumkan keluarga berkenaan terlibat dalam kemalangan di Simpang Renggam.
Malah, tangkap layar perbualan WhatsApp yang dikongsikan menunjukkan saudara mangsa mengesahkan bahawa semua yang menginap telah meninggal dunia dalam kemalangan tersebut.
Terdahulu, media melaporkan empat sekeluarga iaitu Mohd Aiman Mohd Rashid, 36, isterinya Nor Azlina Abd. Latif, 33, ibu mentuanya Semek Mat Soh, 73, serta anak saudara mereka, Nur Airish Syifa Sidek, 10, maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 27 Jalan Renggam-Simpang Renggam, Johor pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 petang itu, sebuah BMW 530e dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kenderaan lain termasuk Toyota Vios yang dinaiki keluarga terbabit.
Pemandu BMW tersebut turut meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Difahamkan, keluarga berkenaan dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis keluarga di Telok Emas, Melaka sebelum tragedi menyayat hati itu berlaku.
Perkongsian Sufi itu mengundang rasa sebak dalam kalangan pengguna media sosial yang turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta mendoakan agar mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Semoga roh kesemua arwah dicucuri rahmat Allah,” kata @Hakim.
“Ya Allah, mereka menginap dekat homestay kamu rupanya. Mesti macam tak percaya kan,” komen @Hashim. – KOSMO! ONLINE

7 hours ago
7













































