PUTRAJAYA – Harga diesel tanpa subsidi bagi tempoh 4 hingga 10 Jun dilaporkan turun 20 sen dengan ditawarkan pada RM4.67 berbanding RM4.87 seliter sebelum ini.
Kementerian Kewangan berkata, sementara itu, harga RON97 tanpa subsidi pula turun 30 sen iaitu dijual pada kadar RM4.35 seliter berbanding RM4.65.
Sementara itu, harga runcit RON95 juga turun sebanyak 20 sen iaitu ditawarkan pada kadar RM3.72 seliter berbanding RM3.92.
“Selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit petrol dan diesel bagi minggu ini diturunkan berikutan penyusutan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu.
“Namun begitu, penurunan harga runcit minggu ini tidak menandakan pasaran petroleum global kembali stabil.
“Sebaliknya, menjelang 100 hari konflik dan perkembangan terkini di Asia Barat, masih terdapat risiko tinggi harga minyak mentah
dan produk petroleum kekal tinggi dalam jangka sederhana,” katanya dalam satu kenyataan, di sini tadi.
Kementerian Kewangan berkata, ketika ini, negara-negara pengimport utama di Asia terpaksa meningkatkan pembelian minyak mentah daripada sumber alternatif bagi menampung gangguan bekalan dari Asia Barat.
“Walaupun import minyak mentah dari Amerika Syarikat ke Asia meningkat ke paras tertinggi, peningkatan tersebut masih belum mencukupi
untuk menggantikan kehilangan bekalan melalui laluan perdagangan utama yang terjejas.
“Keadaan ini menunjukkan bahawa pasaran petroleum global masih berdepan kekangan bekalan fizikal, meskipun purata harga pasaran minggu terdahulu mencatatkan penyusutan,” katanya.
Jelasnya, jika konflik terus berlarutan, risiko penyusutan inventori global dan kekurangan bekalan boleh memberi tekanan baharu kepada harga minyak mentah serta produk petroleum dalam tempoh mendatang.
“Di sebalik kekangan bekalan global, Kerajaan Madani terus mengekalkan harga produk petroleum bersubsidi secara bersasar bagi membantu memelihara kelangsungan hidup rakyat dan operasi sektor tertentu dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu.
“Kerajaan menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat melalui perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu bagi membantu keterjaminan bekalan negara,” katanya. – KOSMO!

5 hours ago
5













































