Lelaki baling batu ke arah kenderaan dipenjara 26 bulan

4 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki membaling batu ke arah enam kenderaan di Lebuh Raya Sprint, Bukit Damansara, di sini, akhirnya membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara 26 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihak polis menerima enam laporan membabitkan enam mangsa berhubung kejadian khianat kira-kira pukul 11 pagi, 2 Jun lalu.

Menurutnya, antara kenderaan yang terlibat dalam kejadian itu ialah Toyota Alphard, Maserati, Renault Captur, Honda City, Proton Iriz dan Proton X50.

“Akibat kejadian itu, salah seorang mangsa mengalami kecederaan pada bahagian tangan dan badan selepas terkena serpihan cermin hadapan yang pecah serta batu yang dibaling.

“Mangsa mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil manakala mangsa lain tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, jumlah kerugian keseluruhan yang dialami mangsa dianggarkan melebihi RM20,000.

Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields berjaya menahan suspek lelaki berusia 50-an dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

“Turut dirampas sebuah beg pinggang milik suspek yang mengandungi sejumlah batu serta sebilah gunting yang diubah suai dan dipercayai digunakan sebagai senjata berbahaya.

“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah serta satu rekod berkaitan kesalahan dadah,” ujarnya.

Beliau berkata, sebanyak enam kertas siasatan dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 427/ 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Katanya, kesemua enam kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini, dan suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

“Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 26 bulan terhadap suspek berkuat kuasa dari tarikh tangkapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |