JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor akan melancarkan secara rasmi jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang dijadual berlangsung di Stadium Educity, Kota Iskandar, Ahad ini.
Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, majlis pelancaran itu bakal menjadi titik permulaan gerak kerja menyeluruh jentera BN dalam menghadapi PRN Johor yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Menurut beliau, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan merasmikan majlis pelancaran tersebut pada pukul 3.30 petang.
BN Johor akan melancarkan secara rasmi jentera PRN Johor ke-16 yang dijadual berlangsung di Stadium Educity, Kota Iskandar, Ahad ini.“Majlis ini bukan sekadar pelancaran jentera pilihan raya, tetapi manifestasi kesatuan, kekuatan dan kesiapsiagaan BN Johor untuk berdepan PRN Ke-16. Kita menyeru seluruh ahli dan penyokong BN hadir beramai-ramai bagi menunjukkan semangat perjuangan serta komitmen untuk memastikan Johor terus menikmati kestabilan politik dan kemakmuran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Md Israk, pelancaran jentera tersebut juga menjadi medan untuk menyuntik semangat kepada seluruh jentera parti sebelum turun mendekati rakyat di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Johor.
“BN Johor bersedia menggalas amanah rakyat dan meneruskan agenda pembangunan negeri yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh pentadbiran sebelum ini,”katanya.
Isnin lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam sidang media khas mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor secara rasmi dibubarkan berkuat kuasa 1 Jun selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim selepas menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.-KOSMO! ONLINE

8 hours ago
7













































