‘Rasa tidak bahagia sejak papa tiada’

10 hours ago 7

KLANG – “Mama, papa meninggal sebab orang mabuk, kan?.”

Soalan itu masih terngiang-ngiang di telinga Nur Nadia Abdul Majid, 32, setiap kali mengenangkan keadaan dua anak lelakinya yang masih sukar menerima kehilangan bapa mereka dalam kemalangan dipercayai melibatkan pemandu mabuk dan khayal dadah pada Mac lalu.

Dua kanak-kanak berkenaan, Muhammad Aqif Amsyar, 9, dan adiknya, Muhammad Aliff Izz Rayqal, 7, kini masih melalui fasa sukar untuk memahami erti kehilangan sebenar, apatah lagi apabila memori bersama arwah bapa masih segar dalam ingatan mereka.

Nur Nadia berkata, anak sulungnya sering meluahkan rasa tidak bahagia sejak pemergian bapa mereka, Allahyarham
Amirul Hafiz Omar, 33 di Jalan Raya Barat, kira-kira pukul 11.47 pagi pada 29 Mac lalu.

“Dia (Muhammad Aqif) cakap tidak bahagia sudah sekarang sebab tiada papa. Dulu kita bahagia. Mama, papa meninggal sebab orang mabuk, ya. Papa beli buku abang, habis itu salah siapa ini,” katanya sebak ketika ditemui di pekarangan mahkamah hari ini.

Nur Nadia bagaimanapun menjelaskan bahawa kemalangan itu bukan disebabkan anak sulungnya tetapi angkara pemandu tersebut.

Lebih menyentuh perasaan, Muhammad Aqif turut menyatakan luahan yang merisaukan apabila tidak mahu meneruskan hidup tanpa bapanya disisi.

“Dia bersekolah seperti biasa tetapi cakap tidak bahagia. Dia pernah kata lebih baik mati kalau macam ini, tiada papa,” ujarnya.

Katanya, pihak kaunselor ada menghubungi keluarga bagi membantu mereka menghadapi trauma, namun sesi bersama anak-anak belum dapat dilakukan kerana kekangan masa persekolahan.

Terdahulu, Nur Nadia dan ahli keluarganya yang diwakili peguam pemerhati, Mohd. Faiz Che Abu mengikuti prosiding sebutan semula kes pembantu makmal yang menyebabkan kematian arwah suaminya.

Pada prosiding itu, Majistret A. Khartiyayini menetapkan 22 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula bagi laporan ‘post mortem’ melibatkan kes tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |