PETALING JAYA – Seorang individu yang dipercayai sering menconteng kemudahan awam di sekitar Gombak dan Kuala Lumpur menarik perhatian ramai selepas aksinya dirakam dan tular di media sosial.
Menerusi perkongsian di Threads, seorang pengguna memuat naik video memaparkan perilaku lelaki tersebut sedang menulis ‘karangan panjang’ pada sebuah paip besar di bawah jejambat di kawasan Batu Caves, Gombak.
Berdasarkan rakaman yang dikongsikan, lelaki terbabit dilihat menulis menggunakan pen marker pada permukaan paip yang dipenuhi catatan panjang mengandungi pelbagai luahan, pandangan serta nama tertentu.
“Dia punya kerja rupanya. Habis penuh dengan karangan paip besar tu,” tulis pemilik akaun berkenaan.
Perkongsian itu mengundang perhatian ramai kerana tulisan tangan yang dipaparkan pada paip tersebut didakwa mempunyai gaya dan kandungan yang sama seperti coretan misteri yang sering ditemui di pelbagai lokasi awam sejak beberapa tahun lalu.
Ramai pengguna media sosial mendakwa pernah melihat coretan yang sama di beberapa lokasi lain termasuk pada kotak utiliti, tiang jejambat dan kawasan awam sekitar ibu negara.
“Haritu jumpa dekat kotak elektrik. Konsisten dia isi kandungan,” komen seorang pengguna.
“Dah lama aku cari orang yang tulis karangan pasal si Saiful ni, nak tahu juga macam mana orangnya. Banyak betul ‘art’ (seni) dia buat,” tulis pengguna lain.
Seorang lagi netizen berkata, dia sering membaca tulisan berkenaan ketika berhenti di lampu isyarat.
“Tiap kali berhenti dekat lampu isyarat, aku akan baca ulang-ulang. Lepas tu senyum seorang-seorang,” katanya.
Dalam pada itu, ada juga pengguna menyifatkan individu tersebut sebagai figura misteri yang sering menjadi bahan perbualan penduduk setempat kerana kehadiran catatannya konsisten di pelbagai lokasi.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada individu dirakam itu benar-benar merupakan individu yang bertanggungjawab menghasilkan semua coretan ditemui sebelum ini.
Dalam masa sama, orang ramai turut menggesa pihak berkuasa berbuat sesuatu agar perbuatan vandalisme tersebut dapat dihentikan.
“Ada yang nampak macam seni, tapi sebenarnya mencemarkan kemudahan awam. Lebih baik pihak berkuasa berbuat sesuatu,” tulis seorang pengguna lain. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
5













































