PETALING JAYA – Cef selebriti , Datuk Dr. Redzuawan Ismail (Chef Wan) menegaskan komitmen jangka panjangnya terhadap empayar kulinari yang dibina iaitu De.Wan 1958 by Chef Wan (De.Wan) dan Café Chef Wan (Cafe) untuk mengekalkan pegangan ekuiti 20 peratus dan memiliki kawalan kreatif dalam dua entiti tersebut.
Beliau berkata, kerjasama ini dirangka untuk mengembangkan empayar perniagaan tersebut tanpa menjejaskan identiti teras.
“Saya ingin jelaskan dengan terang bahawa saya bukan sekadar wajah untuk jenama ini tetapi saya kekal sebagai pemegang saham yang komited.
“Kerjasama ini membolehkan perniagaan ini berkembang, pegangan 20 peratus ini adalah janji saya kepada pelanggan bahawa saya masih di sini, menjaga keaslian, kualiti dan identiti Malaysia yang telah membawa kita pengiktirafan Michelin Bib Gourmand,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pratonton eksklusif Bufat Malam Ikonik Malaysia di sini baru-baru ini.
Sebelum ini, Oasis Harvest Corp Berhad telah mengambil alih Metta Food & Lifestyle Sdn. Bhd. (Metta Food & Lifestyle) yang mengendalikan rangkaian restoran di bawah jenama De.Wan 1958 by Chef Wan dan Café Chef Wan pada harga RM30.8 juta.
Pengambilalihan tersebut akan memberikan Metta Food & Lifestyle akses segera kepada ekosistem F&B luas milik Oasis Harvest, termasuk jenama mapan seperti Uncle Don’s dan Verona Trattoria.
Integrasi ini dijangka meningkatkan kecekapan operasi dapur pusat, pengurusan rantaian bekalan, dan pembangunan jenama.
Selain itu, Pengarah Eksekutif Oasis Harvest, Ch’ng Eu Vern memaklumkan, kerjasama tersebut berlandaskan hormat dan aspirasi selain pegangan ekuiti berterusan Chef Wan serta penglibatan aktif beliau memberikan kesinambungan dan kredibiliti yang kritikal.
“Peranan kami adalah menyediakan platform untuk pertumbuhan secara bertanggungjawab dan strategik.
“Kami menggabungkan kepakaran kulinari Chef Wan dengan keupayaan operasi Oasis untuk membina platform F&B yang dipimpin Malaysia, mampu memanfaatkan pemulihan pelancongan dan permintaan yang semakin meningkat terhadap masakan tempatan autentik,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

2 hours ago
3


















![[VIDEO] Suhu sejuk ratusan iguana jatuh dari pokok](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-04-at-10.42.22-PM.jpeg)






























