GEORGE TOWN – Peningkatan kos sara hidup turut memberi kesan langsung kepada golongan mahasiswa khususnya melibatkan perbelanjaan harian.
Sehubungan itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), Muhammad Nuraiman Mohd Yusrino berkata, kebajikan penuntut perlu terus diberi keutamaan melalui kerjasama bersepadu antara kerajaan, institusi pengajian tinggi dan wakil mahasiswa.
Menurutnya, isu kenaikan harga makanan, kos bahan api serta keperluan asas lain antara cabaran utama yang sering dibangkitkan dalam kalangan pelajar, ketika ini.
“Dalam pada itu, pelajar khususnya tahun akhir turut berdepan cabaran mengimbangi tuntutan akademik dengan peningkatan kos sara hidup.
“Beban tugasan, projek akhir dan keperluan akademik memerlukan sokongan persekitaran kampus yang kondusif,” katanya di sini, hari ini.
Dalam konteks itu katanya, kewujudan inisiatif kebajikan seperti Dapur Siswa dan Food Bank bukan sahaja membantu memenuhi keperluan asas, malah menyokong kesejahteraan emosi pelajar untuk terus memberi tumpuan kepada pengajian.
“Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerima maklum balas positif daripada kepimpinan mahasiswa, khususnya dalam memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara,” jelasnya.
Di peringkat institusi, katanya lagi, USM turut melaksanakan pelbagai langkah sokongan selaras dengan aspirasi kerajaan, termasuk penyertaan dalam program Dapur Siswa dan Food Bank.
“Ia mencerminkan komitmen universiti dalam memastikan kesejahteraan mahasiswa sentiasa diberi perhatian,” katanya sambil menjelaskan Dapur Siswa menyediakan akses makanan pada harga berpatutan, manakala Food Bank berfungsi sebagai jaringan sokongan bagi membantu pelajar mendapatkan keperluan asas sekali gus mengurangkan tekanan kewangan.
Beliau memberitahu, kepimpinan mahasiswa memainkan peranan penting dalam menyokong pelaksanaan inisiatif kebajikan di kampus serta memastikan manfaat program disalurkan secara menyeluruh kepada pelajar yang memerlukan.
“Kepimpinan mahasiswa juga bertindak sebagai penghubung antara pelajar dan pihak pentadbiran dalam menyalurkan maklum balas serta isu sebenar yang dihadapi, agar tindakan lebih berkesan dapat diambil.
“Secara keseluruhan, kesejahteraan mahasiswa diperkukuh melalui kerjasama pelbagai pihak, dengan kebajikan pelajar dilihat sebagai pelaburan jangka panjang negara selaras peranan mereka sebagai pemimpin masa hadapan,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

2 hours ago
3


![[VIDEO] ‘Moga arwah tarik tangan abang dia sekali masuk syurga sama-sama’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/WhatsApp-Image-2026-04-21-at-10.41.13-AM.jpeg)









































