PETALING JAYA – Baru bergelar ibu, pelakon Siti Saleha memilih untuk berehat seketika daripada dunia seni kerana enggan terlepas melihat setiap detik perkembangan anak sulungnya, Indra Mateen Fitton.
Siti Saleha atau nama penuhnya Siti Saleha Mohd. Baharum, 36 memaklumkan fokus utamanya kini adalah untuk memberikan perhatian penuh kepada si cilik, terutamanya dalam tempoh awal penyusuan dan pembesaran.
“Saya pertama kali jadi ibu. Kena fikir kalau nak mula penggambaran kena berhenti menyusu.
“Ya tawaran memang ada tapi saya tak nak terlepas perkembangan anak. Setiap hari berbeza, saya nak ada di situ untuk anak.
“Saya suka jadi ibu. Memang sangat berbeza tapi ada susah dan senang dalam masa sama.
“Kalau tak dia dengan pengasuh dan suami saya. Saya tak akan biarkan, nanti perkataan pertama dia iaitu ‘daddy’,” kepada Kosmo! Online semasa sidang media Siri Travelog Hotlink: Geng Bijak Berbajet, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Siti Saleha atau mesra disapa Sally itu tidak menolak kemungkinan untuk kembali aktif di set penggambaran sekiranya menerima naskhah yang benar-benar menepati citarasanya.
“Kalau boleh nak ‘hold on’ dulu tapi terpulang juga, sekarang rasa macam nak mula penggambaran balik.
“Macam ada drama menarik, mungkin mula berlakon balik. Saya dah ada perasaan begitu, dalam beberapa bulan lagi ke, tengoklah,” katanya lagi.
Pada masa sama, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku itu meluahkan rasa bersyukur kerana dikurniakan anak yang tidak cerewet dan sangat tenang.
“Semua nak masuk mulut sekarang. Dia dah boleh minum daripada penyedut minuman dan mula makan.
“Dia banyak membebel, bercakap dan saya rasa dia dah mula bangun serta guna kaki. Saya rasa mungkin dia akan berjalan sebelum merangkak.
“Anak saya sangat tenang, kalau saya pergi kerja dia tak menangis. Tak cerewet sangat.
Berkongsi mengenai pengalaman menjadi ibu, Sally tidak menafikan memerlukan pengorbanan masa rehat yang tinggi.
“Tak (cukup rehat), saya boleh cakap memang susahlah kan dah jadi ibu terutamanya pada tahun pertama.
“Tapi saya fikir anak saja. Sekarang saya rasa muka tiba-tiba breakout (naik jerawat). Mungkin hormon.
“Bila periksa darah, bukan masalah hormon. Saya rasa mungkin banyak faktor, penat memang penat tapi saya tak mengeluh,” ujarnya.
Pada 3 Januari lalu, Sally selamat melahirkan seorang putera dan memperkenalkan wajah anak sulungnya kepada umum pada Februari.
Terdahulu, dia mengahwini Joshua juga pereka fesyen pada 15 Februari 2025. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
5












































