KUALA LUMPUR – Aktor Indonesia, Adipati Dolken sanggup keluar daripada zon selesa dengan mempelajari bahasa Melayu demi menjayakan wataknya dalam filem Mojoku Hilang!, meskipun mengakui proses tersebut antara cabaran terbesar sepanjang karier lakonannya.
Ujar Adipati atau nama sebenarnya Adipati Koesmadji, 35, dia mengambil masa membuat persiapan sejak tiba di Kuala Lumpur pada penghujung November tahun lalu dengan memberi fokus sepenuhnya terhadap skrip, sebutan dan dialek tempatan.
“Saya tidak mengambil masa terlalu lama untuk belajar bahasa Melayu. Saya tiba di Kuala Lumpur pada penghujung November tahun lalu.
“Sebaik sampai, kami terus membaca skrip dan saya mula mempelajari dialek bahasa Melayu. Cabaran paling besar ialah mendapatkan sebutan serta lenggok bahasa yang tepat. Memang berbelit lidah.
“Sehinggalah pihak produksi memberi penilaian terhadap tahap kefasihan saya. Mereka bergurau mengatakan cara saya bertutur sudah seperti orang yang menetap di Malaysia selama lima tahun,” katanya kepada Kosmo! Online.
Menurut Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Indonesia 2013 (FFI) itu, minat terhadap naskhah arahan Min Lim itu mendorongnya menerima cabaran berlakon di luar Indonesia, selain perlu menguasai dialek Utara.
“Saya terus tertarik apabila pengarah Min Lim menawarkan watak ini kerana skripnya sangat bagus. Pada masa sama, saya juga berpeluang berlakon di luar negara.
“Watak ini memerlukan saya bertutur dalam bahasa Melayu dan dialek Utara kerana penggambarannya berlangsung di Perlis. Saya belum pernah melakukannya sebelum ini, jadi saya anggap itu satu cabaran menarik.
“Sampai bila saya mahu berada dalam zon selesa? Sebagai pelakon, saya perlu terus belajar walaupun bahasa Melayu memang sangat sukar untuk saya kuasai,” ujarnya pada tayangan gala filem Mojoku Hilang!, di sini, semalam.
Tambahnya, dia turut menjalani sesi uji bakat secara dalam talian dengan merakam hampir 20 video sebelum akhirnya menyerahkan segala-galanya kepada pihak produksi.
“Saya merakam hampir 20 video untuk sesi uji bakat. Sampai satu tahap saya rasa sudah terlalu penat dan hanya mampu berserah.
“Saya fikir, sama ada dapat watak ini atau tidak, saya reda. Syukur kerana akhirnya pihak penerbit tetap yakin saya mampu menjayakannya,” dedahnya.
Dalam masa sama, Adipati berterima kasih kepada penulis skrip, Honey, yang banyak membantu memperbetulkan sebutan dialog sepanjang penggambaran.
“Saya banyak belajar bahasa Melayu daripada penulis skrip sendiri, Honey. Dia sentiasa berada di sisi pengarah sambil memantau setiap babak.
“Kalau sebutan saya kurang tepat, dia akan terus menegur. Honey sangat membantu saya memahami skrip kerana cara membaca dan menyampaikan dialog dalam bahasa Melayu sangat berbeza,” ungkapnya.
Mojoku Hilang! mengisahkan Adi, seorang pekerja korporat yang menyamar sebagai penduduk kampung di Perlis demi mencari semula Mojo, seekor lembu maskot popular milik syarikat tempatnya bekerja yang dilaporkan hilang.
Filem romantik komedi itu bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 23 Julai ini.
Selain Adipati, naskhah terbitan Double Vision dengan kerjasama Astro Shaw, Mocha Chai Laboratories dan ARGO Films itu turut dibintangi Mimi Lana, Wan Hanafi Su, Namron, Aziz M. Osman, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Tony Eusoff, Gambit Saifullah, Haeriyanto Hassan, Farah Ahmad dan Seha Monica. – KOSMO! ONLINE.

7 hours ago
5












































