SHAH ALAM – Taktik sindiket dadah antarabangsa menawarkan upah lumayan sehingga RM15,000 selain pakej pelancongan percuma berjaya dibongkar selepas tujuh individu yang dipercayai menjadi keldai dadah ditahan dalam tempoh seminggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kesemua suspek termasuk seorang warga tempatan berusia 24 hingga 55 tahun bersama keseluruhan 247.8 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM19.82 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, penangkapan kesemua suspek daripada enam sindiket berasingan itu dilakukan dalam tempoh seminggu antara 11 hingga 17 Julai lalu.
Menurut beliau, sindiket terbabit menggunakan modus operandi memperdaya individu dengan menawarkan ganjaran lumayan serta kemudahan perjalanan bagi membawa dadah merentasi sempadan negara.
“Siasatan awal mendapati warga tempatan itu memperoleh upah RM6,000 manakala warga asing ada sehingga RM15,000.
“Malah hasil siasatan awal, seorang suspek lelaki warga asing yang ditahan telah melakukan kerja tersebut buat kali kedua,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata, enam warga asing termasuk dua wanita berasal dari Eropah dan Asia Timur didapati memasuki negara ini sejak awal Julai hingga sehari sebelum tangkapan dengan menggunakan pas lawatan sosial.
Tambahnya, kesemua bekalan dadah itu dipercayai untuk dihantar sekitar negara Eropah.
“Kita percaya sindiket menggunakan antara dua hingga tiga laluan transit sebelum dadah berkenaan sampai ke destinasi akhir pengedaran.
“Setakat ini, siasatan mendapati dadah itu bukan untuk dibawa ke negara yang membenarkan penggunaan ganja,” ujarnya.
Tambah beliau, polis turut merampas dua utas rantai serta wang tunai pelbagai mata wang sepanjang operasi berkenaan.
Jelasnya, tiga daripada suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).
Kesemua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
5












































