KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memanggil satu mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) 2026 bagi membincangkan secara terperinci cadangan penangguhan temasya dwitahunan itu, susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.
Menterinya, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, pihaknya menjunjung tinggi amanat baginda yang menzahirkan keprihatinan terhadap krisis tenaga global serta impak ekonomi semasa yang sedang melanda negara.
Beliau menjelaskan, langkah pertama yang akan diambil adalah mendapatkan pandangan rasmi daripada Kerajaan Negeri Selangor selaku tuan rumah sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
“Saya menjunjung titah Sultan Selangor berkenaan penangguhan penganjuran Sukma Selangor 2026. Ini merupakan amanat Tuanku atas keprihatinan terhadap krisis tenaga global dan kesannya terhadap ekonomi, selain mengambil kira keperluan menunggu Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.
“Sehubungan itu, saya akan mendapatkan maklum balas daripada Kerajaan Negeri Selangor terlebih dahulu. Selepas itu, saya akan memanggil mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma 2026 bagi membincangkan perkara ini secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mesyuarat khas itu dijangka akan membabitkan Majlis Sukan Negara (MSN), negeri, serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Sultan Sharafudin berpandangan penganjuran Sukma Selangor wajar ditangguhkan susulan kos yang tinggi selain mengambil kira keadaan ekonomi semasa.
Baginda bertitah, penangguhan itu juga dilihat sesuai sehingga krisis Asia Barat selesai dan pembinaan Stadium Shah Alam disiapkan sepenuhnya.
Sukma Selangor 2026 sebelum ini dilaporkan akan tetap diteruskan dari 15 hingga 24 Ogos ini meskipun berdepan cabaran krisis tenaga global dan kesan ekonomi yang dirasai seluruh dunia ketika ini. -KOSMO! ONLINE

3 hours ago
4
















![[VIDEO] 2 kenderaan berlanggar, trafik perlahan di Jalan Tun Razak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/JALAN-TUN-RAZAK.jpeg)



























