MADINAH – Ibadah haji dan umrah bukan perjalanan melancong, sebaliknya tuntutan ibadah yang menuntut keikhlasan, kesabaran dan pengorbanan sepanjang berada di Tanah Suci.
Pengurus Bimbingan dan Ziarah Madinah Tabung Haji (TH), Mohamad Zahir Hussin berkata, umat Islam yang terpilih menjadi tetamu Allah perlu memanfaatkan setiap masa untuk beribadah serta menghayati nilai rohani di sebalik perjalanan suci itu.
Katanya, setiap manasik haji dan program ziarah memberi penghayatan mendalam untuk mendidik jiwa kepada para jemaah haji.
“Misalnya keistimewaan menziarahi dan mendirikan solat di Masjid Quba ini sangat besar ganjarannya, malah ia diumpamakan seperti melakukan satu kali umrah.
“Selain itu, ia menjadi ibrah (pengajaran) kepada kita tentang kepentingan masjid sebagai simbol penyatuan umat Islam,” katanya ketika ditemui semalam.
Terdahulu, seramai 800 jemaah haji Malaysia melibatkan kumpulan KT1, KT2 dan KT3 menyertai siri ziarah luar bagi mendalami sirah perjuangan Rasulullah bumi Madinah antaranya Bukit Uhud dan Masjid Quba.
Mengulas lanjut, Mohamad Zahir berkata, jemaah juga digalakkan menziarahi tempat-tempat bersejarah di sekitar Madinah dengan penuh keinsafan dan mengambil pengajaran daripada sirah perjuangan generasi awal Islam.
Menurut beliau, pengalaman berada di bumi anbia itu seharusnya membawa perubahan jiwa dan akhlak apabila jemaah pulang ke tanah air kelak.
“Jangan pulang sekadar membawa gambar dan kenangan, tetapi bawalah bersama semangat ibadah, kesabaran, disiplin serta kecintaan kepada agama hasil penghayatan di bumi Madinah,” katanya.
Katanya, program ziarah TH bukan sekadar lawatan fizikal ke tapak bersejarah, malah bertujuan memberi penghayatan mendalam kepada mereka mengenai pengorbanan Nabi Muhammad dalam menyebarkan syiar Islam.
Katanya, jemaah turut dibawa ke Medan Uhud bagi menelusuri sirah peperangan kedua dalam sejarah Islam.
“Di Medan Uhud, kita dapat melihat lokasi persemadian para sahabat yang gugur syahid demi memastikan Islam terus bersinar dan sampai kepada kita pada hari ini.
“Dalam setiap perjalanan ke tempat-tempat bersejarah ini, kami mahu jemaah mendapat ibrah atau penghayatan tentang bagaimana perjuangan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah bagi membawa sinar Islam yang kita nikmati kini,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE.

2 hours ago
2









![[VIDEO] ‘Moga arwah tarik tangan abang dia sekali masuk syurga sama-sama’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/WhatsApp-Image-2026-04-21-at-10.41.13-AM.jpeg)

































