‘Kami tiada telefon nak buat live buktikan kami berlawan panas api’

3 hours ago 2

PETALING JAYA – “Kami tiada telefon untuk buat ‘live’ (siaran langsung) bagi membuktikan sedang berlawan dengan api.”

Demikian luahan seorang anggota bomba menerusi akaun Facebook miliknya, JEFF RKS selepas dikecam ketika operasi memadam kebakaran besar yang meranapkan 1,000 buah rumah di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah baru-baru ini.

Katanya, pasukan bomba sudah berusaha sehabis baik untuk menyelamatkan kediaman penduduk dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi, Ahad lalu.

“Kami cuba sedaya upaya untuk berbuat demikian, tetapi kami juga manusia biasa, walaupun pada masa itu keselamatan kami pun tidak dihiraukan.

“Terima kasih kepada orang kampung yang membantu. Kita sudah melakukan yang terbaik tetapi Allah SWT sebaik-baik menentukan segala-galanya,” katanya.

Lelaki itu mengakui, antara cabaran utama yang dihadapi adalah mendapatkan sumber air mencukupi apabila semua hos dan pam sedia ada digunakan sepenuhnya, selain kekangan akses ke kawasan tersebut.

Hantaran itu turut menyentuh mengenai tindakan segelintir individu yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota bomba ketika bertugas.

“Dari awal kejadian, kami sudah di dalam kebakaran (di lokasi kejadian), tetapi maaflah kami tidak membawa telefon bimbit untuk membuat ‘live’ dan ‘content’ (kandungan) untuk membuktikan kami sedang berlawan menahan panas (bahang) api.

“Kami maafkan kamu tuan-tuan. Kami memahami keadaan emosi tuan-tuan dan puan-puan pada masa itu,” luahnya.

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan anggota bomba diherdik dan dihina sebaik tiba di lokasi termasuk disuruh pulang dan dilabel tidak berguna. Bagaimanapun, situasi tegang itu berjaya dikawal selepas polis campur tangan meleraikan keadaan.

Dalam kejadian Ahad lalu, kira-kira 1,000 rumah musnah di kawasan seluas lebih empat hektar, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sebelum ini, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung berkata, laluan sempit dan kedudukan rumah terlalu rapat menjadi antara cabaran pihak bomba dalam usaha memadam kebakaran besar tersebut.

Keadaan air laut yang surut juga menyukarkan usaha mendapatkan sumber bekalan air dan selain faktor angin kencang dan kedudukan rumah yang rapat menyebabkan api merebak dengan cepat. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |