Kemalangan Setapak: Kakitangan ambulans terlibat digantung tugas – BSMM

9 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Bulan Sabit Merah (BSMM) mengesahkan kakitangan ambulans yang terlibat dalam kemalangan di Setapak, di sini semalam telah digantung tugas sementara bagi memberi laluan kepada siasatan menyeluruh oleh pihak berkuasa.

Setiausaha Agungnya, Datuk Danial Iskandar Abdul Rahman berkata, insiden berkenaan melibatkan sebuah ambulans milik BSMM yang dioperasikan oleh Cawangan Kuala Lumpur ketika dalam perjalanan untuk memberi respons kepada panggilan kecemasan sekitar pukul 8.10 pagi.

Katanya, rakaman papan pemuka (dashcam) berdurasi 36 saat yang tular di media sosial menunjukkan ambulans tersebut dipercayai hilang kawalan ketika melintasi sebuah persimpangan lampu isyarat sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan lain.

“Ambulans itu dihantar susulan panggilan kecemasan melalui Pusat Koordinasi Kecemasan Perubatan (MECC) dan sedang dalam perjalanan untuk menjemput seorang pesakit di PPR Gombak Setia.

“Pada masa kejadian, tiada pesakit berada dalam ambulans dan kenderaan tersebut bergerak dengan lampu isyarat kecemasan serta siren diaktifkan mengikut prosedur operasi standard,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menjelaskan, akibat perlanggaran tersebut, ambulans berkenaan turut melanggar beberapa pengguna jalan raya lain termasuk seorang penunggang motosikal.

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dilaporkan berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah ambulans, dua kereta dan empat motosikal.

Mohd Zamzuri berkata, dalam kejadian itu, seramai tujuh individu cedera termasuk seorang lelaki berusia 40 tahun mengalami patah tulang paha kanan dan semua mereka telah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, Danial Iskandar memaklumkan, wakil pertubuhan itu telah mengunjungi dua daripada mangsa terlibat iaitu seorang kanak-kanak yang cedera bersama bapanya serta sedang menghubungi individu lain bagi menawarkan sokongan dan bantuan sewajarnya.

“Laporan polis telah dibuat dan BSMM sedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Trafik Kuala Lumpur dalam siasatan yang dijalankan.

“Sebagai sebahagian daripada protokol dalaman, kakitangan ambulans yang terlibat telah digantung tugas sementara menunggu keputusan siasatan,” katanya.

Beliau turut menegaskan keselamatan orang awam, pesakit, sukarelawan serta semua pengguna jalan raya kekal sebagai keutamaan organisasi itu dan pihaknya akan menjalankan semakan dalaman yang menyeluruh selepas siasatan pihak berkuasa selesai. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |