‘Luar senyum tapi dalam ‘live’, terkeluar juga isi hati sebenar’

2 hours ago 3

PETALING JAYA – Tidak tahu apa motif dibandingkan, penyanyi Liza Hanim meluahkan rasa terkilan apabila kejayaan anaknya, Marsya Qistina menjuarai program Talk To My Manager (TTMM) musim pertama terus dipertikaikan sehingga ke hari ini.

Bukan sengaja membangkitkan isu lama, Liza atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abdul Halim, 46, berkata dia terlihat satu siaran langsung yang mempersoalkan kredibiliti pemenang program tersebut sehingga mencetuskan rasa kurang senang dalam dirinya.

“Baru tadi lalu di FYP, ada seseorang buat siaran langsung dan berkata, ‘yang juara pun ada yang tidak ke mana, biarlah saya jadi juara di hati kalian sahaja’.

“Tidak mengapa, saya pilih untuk bersangka baik. Sebab itulah saya tidak gemar terlalu rapat. Di luar nampak senyum, tetapi dalam siaran langsung, terkeluar juga isi hati sebenar,” katanya salam Instagram Story.

Pun begitu, pelantun lagu Gelisah Mimpi itu memilih untuk menjaga adab serta menghormati individu terbabit walaupun berdepan sindiran terbuka.

“Saya mohon jangan tanya siapa individu tersebut. Saya masih menghormati dia sebagai senior dalam industri,” ujarnya.

Rata-rata netizen tampil mempertahankan Marsya selain menegur sikap segelintir pihak yang gemar menjatuhkan orang lain.

“Tak perlu bandingkan rezeki orang lain. Setiap artis ada jalan masing-masing.

“Biarlah Marsya buktikan dengan usaha. Baru menang, bagi ruang untuk berkembang.

“Sokong saja bakat muda, bukan jatuhkan,” tulis beberapa pengguna media sosial.

Namun, ada juga segelintir berpendapat kritikan sebegitu wajar dijadikan pembakar semangat untuk Marsya membuktikan kemampuan sebenar dalam industri.

Terdahulu, Marsya pernah berdepan kritikan hampir sama apabila terdapat pihak mempertikaikan kemenangannya dalam program TTMM, termasuk memperlekeh potensi serta hala tuju kerjayanya dalam bidang seni. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |